Kecerdasan buatan (AI) menjadi topik hangat di seluruh dunia, bukan sahaja kerana kelebihan dan potensinya , tetapi juga kerana kebimbangan besar terhadap kesannya terhadap pekerjaan di masa hadapan.
Hasil kajian terbaru oleh Pew Research Center melibatkan 37 negara termasuklah Malaysia menunjukkan, majoriti responden di 34 negara percaya bahawa AI akan menyebabkan lebih banyak kehilangan pekerjaan berbanding mencipta peluang kerja baharu dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Kebimbangan ini paling ketara di negara berpendapatan tinggi seperti Australia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat, di mana lebih 70% rakyat menjangkakan AI akan mengurangkan peluang pekerjaan.

Malah, selain isu pekerjaan, ramai percaya bahawa AI akan memperluaskan jurang antara kaya dan miskin.
Di Korea Selatan, Australia dan Amerika Syarikat, majoriti besar menjangkakan ketidaksamarataan akan meningkat dengan hanya segelintir kecil saja yang optimis bahawa AI mampu mengurangkan jurang tersebut.
Di Amerika Syarikat, pandangan ini turut dipengaruhi oleh ideologi politik, dengan golongan liberal lebih cenderung melihat AI sebagai faktor yang memperburukkan lagi ketidaksamaan ini.
Kajian turut mendapati bahawa tahap kesedaran memainkan peranan penting.
Individu yang lebih banyak membaca atau mendengar tentang AI cenderung lebih pesimis (berpandangan negatif) terhadap masa depan pekerjaan.
Selain itu, golongan muda dilihat yang paling terkesan kerana AI berpotensi menggantikan kerja peringkat permulaan yang biasanya menjadi batu loncatan untuk membina kemahiran dan pengalaman.

Kesimpulannya, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) berisiko menghakis kedudukan golongan kelas pertengahan berbanding memperkasakannya.
Mengabaikan kesan buruknya terhadap pekerjaan boleh mengakibatkan risiko pengangguran beramai-ramai sehingga mencetuskan kejatuhan sistem perlindungan sosial sesebuah negara.
Oleh itu, langkah proaktif amat kritikal bagi memastikan kemajuan teknologi AI membawa kesejahteraan ekonomi yang saksama dan bukannya jurang sosioekonomi yang lebih parah.
