Siri OPPO Find X2 Rasmi - Dilengkapi Pengecasan Pantas 65W Dan Skrin 120Hz

Siri OPPO Find X kini menjengah pentas utama sekali lagi selepas ia rasmi diperkenalkan sebentar tadi.

Dikenali dengan nama Find X2, versi Pro turut sama diperkenalkan dengan membawakan spesifikasi yang menarik untuk peminat.

 

OPPO Find X2 Pro



Versi paling berkuasa ini didatangkan dengan skrin paparan Super AMOLED dengan kadar penyegaran 120Hz. Dilapisi perlindungan Corning Gorilla Glass 6, ia membawakan rekaan punch hole yang diisi dengan kamera selfie 32MP. Tidak dilupakan juga dengan kadar input 240Hz dan resolusi QHD+.

Berstatus flagship, ia ditawarkan dengan dua jenis panel belakang iaitu seramik dan satu lagi disaluti kulit. Beroperasi dari dalam adalah Snapdragon 865 dibantu memori RAM LPDDR5 12GB dan storan 512GB berasaskan UFS 3.0.

Sistem kamera belakang pula terdiri daripada 48MP Sony IMX 689+48MP Sony IMX 586 + 13MP telefoto dengan OIS. Ia membolehkan ciri zoom optikal 5x, hybrid 10x serta zoom digital sehingga 60x.

Peranti ini dikuasakan bateri berkapasiti 4260mAh dengan pengecasan pantas 65W. Selain itu, Find X2 Pro menyokong pensijilan kalis habuk dan air IP 68.

OPPO Find X2



Versi asas pula menampilkan saiz skrin yang sama. Perbezaan pada panel belakang dimana ia tidak menggunakan binaan seramik mahupun kulit seperti versi Pro.

Selain itu, Find X2 dilengkapi dengan kamera 48MP Sony IMX 586, 12MP ultra lebar dan 13MP telefoto. Kemampuan zoom yang diberikan adalah 3x zoom optikal dan 20x zoom digital.

Model ini turut menggunapakai cip pemprosesan yang sama tetapi ruang storan sehingga 256GB sahaja.



Kedua-dua peranti akan menjalankan sistem antaramuka ColorOS 7.1 yang berasaskan Android 10. OPPO menyatakan ia dioptimumkan dari segi sekuriti dan sistem tema gelap yang lebih baik.



Harga jualan untuk pasaran Eropah adalah 1199 Euro dan 999 Euro iaitu kira-kira ~RM5660 dan ~RM4715, mengikut tukaran matawang asing semasa.

Untuk pasaran tempatan, OPPO Malaysia telah menjadualkan tarikh 10 Mac 2020.