Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Siri Huawei Mate 80 Dilancarkan, Kecerahan Skrin Sehingga 8000 Nits

Posted on November 26, 2025November 26, 2025

Huawei kini melancarkan siri Mate 80 di China, merangkumi Mate 80, Mate 80 Pro, Mate 80 Pro Max dan Mate 80 RS.

Keseluruhan barisan Mate 80 hadir dengan peningkatan ketara pada paparan, prestasi serta ciri kamera, selain menjalankan HarmonyOS 6 yang menawarkan antara muka baharu dan penambahbaikan ciri AI.

Semua model juga menyokong komunikasi satelit, penarafan IP68 dan IP69 serta menampilkan sistem imbasan wajah 3D ToF serta pengimbas cap jari di sisi.

Mate 80 & Mate 80 Pro

Kedua-dua model ini berkongsi paparan OLED LTPO 6.75-inci dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 1-120Hz. Huawei mendakwa panelnya mampu mencapai maksimum kecerahan 8,000 nits, menjadikannya antara paling terang di pasaran. Kedua-dua model juga dilapisi Kunlun Glass generasi kedua untuk perlindungan skrin.

Mate 80 dan Mate 80 Pro masing-masing menggunakan cip Kirin 9020 dan Kirin 9030. Menurut Huawei, Kirin 9030 adalah 35% lebih pantas daripada Kirin 9020, yang mana ia sendiri adalah 35% lebih pantas berbanding Kirin 9010.

Kedua-duanya hadir dengan konfigurasi memori sehingga 16GB RAM, dan storan sehingga 1TB untuk model Pro.

Mate 80 dan Mate 80 Pro menampilkan sistem tiga kamera, termasuk 50MP kamera utama dengan apertur boleh ubah f/1.4–f/4.0 dan 40MP ultra lebar. Perbezaan utama terletak pada kamera telefoto, iaitu 12MP dengan zum optikal 5.5x untuk Mate 80 dan 48MP dengan apertur f/2.1 dan zum 4x bagi Mate 80 Pro.

Di bahagian hadapan, kedua-dua model dibekalkan kamera swafoto 13MP.

Bagi menghidupkan peranti, Mate 80 dan Mate 80 Pro dilengkapi bateri 5,750mAh. Mate 80 Pro menawarkan pengecasan 100W berwayar dan 80W wayarles, manakala Mate 80 menyokong 66W berwayar dan 50W wayarles.

Mate 80 Pro Max & Mate 80 RS

Mate 80 Pro Max dan Mate 80 RS pula menerima paparan lebih besar iaitu 6.9-inci, menggunakan panel OLED dua lapisan dengan kecerahan maksimum sama, iaitu sehingga 8,000 nits.

Kedua-duanya dijana Kirin 9030 Pro, cip paling berkuasa dalam siri ini, serta dipadankan dengan storan sehingga 1TB.  Untuk memori, Mate 80 Pro Max hadir dengan 16GB RAM, manakala Mate 80 RS menawarkan 20GB RAM.

Mate 80 Pro Max hadir dengan sistem empat kamera, terdiri daripada 50MP kamera utama dengan apertur boleh ubah, 40MP ultra lebar, 50MP makro telefoto f/2.1 serta 50MP telefoto periskop dengan zum optikal 6.2x. Ciri yang sama turut dibawa ke model Mate 80 RS.

Pada bahagian dalam, Mate 80 Pro Max dan RS diisi bateri berkapasiti 6,000mAh yang menyokong pengecasan 100W berwayar dan 80W wayarles.

Ketersediaan

Mate 80 Pro
Mate 80

Harga siri Huawei Mate 80 di China bermula daripada CNY 4,699 (~RM2,738) untuk Mate 80 (12+256GB), manakala Mate 80 Pro (12+256GB) pula bermula pada CNY 5,999 (~RM3,495).

Mate 80 Pro Max
Mate 80 RS Ultimate Design

Bagi model lebih premium, Mate 80 Pro Max (16+512GB) ditawarkan pada harga permulaan CNY 7,999 (~RM4,661), dan Mate 80 RS Ultimate Design (20+512GB) menjadi yang paling mahal dengan harga bermula CNY 11,999 (~RM6,992).

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress