Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Sindiket ‘Fake BTS’ Bergerak Dinamik, Jadi Cabaran Penguatkuasaan – Teo

Posted on Februari 24, 2026Februari 24, 2026

Kesukaran mengesan peranti Stesen Pangkalan Palsu atau Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) yang boleh disembunyikan dalam kenderaan atau beg menjadi cabaran utama pihak berkuasa dalam mengekang sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sifat peranti yang mudah alih itu membolehkan sindiket beroperasi secara dinamik bagi mengelak daripada dikesan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, teknologi itu digunakan untuk memintas rangkaian keselamatan mudah alih bagi menghantar SMS palsu serta pautan berbahaya kepada pengguna yang berada dalam radius peranti tersebut.

“Oleh kerana peranti ini boleh dibawa ke mana-mana sahaja, tindakan penguatkuasaan amat memerlukan maklumat dan aduan daripada orang awam untuk membantu kami mengenal pasti lokasi tepat sindiket berkenaan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.

Teo berkata sejak September 2024, MCMC dengan kerjasama PDRM telah melaksanakan beberapa siri operasi termasuk Ops Pancing, Ops Fake BTS dan Ops Delusi yang berjaya menumpaskan sindiket di lokasi berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Beliau menegaskan penggunaan atau pemilikan kelengkapan komunikasi tidah sah merupakan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda hingga RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun.

Dalam pada itu, Teo memaklumkan satu prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pendaftaran kad SIM akan dikuatkuasakan mulai 27 Februari ini. Langkah tersebut bertujuan menghalang penyalahgunaan talian oleh pihak tidak bertanggungjawab, selain mengenakan kompaun lebih tinggi terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal mematuhi peraturan pendaftaran.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress