Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AFP

Serangan Siber Ganggu Sistem Penyejukan Pasar Raya Di Sembilan Negara Eropah

Diterbitkan November 3, 2026 ยท Dikemas kini November 3, 2026 oleh Amsyar Latif

Pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah mengalami gangguan sistem penyejukan yang disyaki berpunca daripada serangan siber pada Isnin, menyebabkan sebahagian peruncit terpaksa membuang bekalan makanan selepas suhu peti sejuk meningkat sepanjang malam.

Menurut laporan AFP, insiden tersebut melibatkan pasar raya di Belgium, Estonia, Finland, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda, Portugal dan Sweden.

Kejadian itu berlaku tiga minggu selepas serangan siber yang mengganggu operasi pasar raya di Perancis sehingga memaksa ratusan premis membuang stok makanan yang rosak.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua insiden tersebut.

Pesuruhjaya Makanan dan Pertanian Kesatuan Eropah (EU), Christophe Hansen, berkata pihaknya memandang serius kejadian berkenaan.

Beliau menyifatkannya sebagai cubaan yang disengajakan untuk mengganggu rantaian bekalan makanan EU serta menjejaskan keyakinan pengguna.

Sistem Kawalan Peti Sejuk Jadi Sasaran

Di Itali, sekurang-kurangnya empat pasar raya Coop di Sicily dan sebuah perniagaan di Tuscany dilaporkan terjejas, menurut laporan media tempatan dan agensi keselamatan siber negara itu.

Kerajaan Itali turut dijadualkan mengadakan mesyuarat keselamatan siber bersama perkhidmatan perisikan pada Selasa.

Ketua Radenza Group yang menguruskan pasar raya berjenama Coop, Giuseppe Spadaro, berkata serangan berlaku pada pukul 4 pagi waktu tempatan.

Menurutnya, serangan tersebut menyasarkan sistem kawalan jauh bagi bahagian makanan sejuk beku, namun masalah itu telah berjaya diselesaikan.

Belgium pula merupakan antara negara yang paling teruk terjejas apabila puluhan pasar raya daripada beberapa rangkaian melaporkan kegagalan sistem penyejukan.

Pihak pendakwa raya persekutuan Belgium telah membuka siasatan berhubung kejadian tersebut.

Jurucakap Carrefour Belgium, Mich Vergauwen, berkata gangguan itu disebabkan serangan siber dan tiada penjelasan lain bagi masalah berkenaan.

Kira-kira 15 daripada 700 pasar raya Carrefour di Belgium dilaporkan terjejas.

Ikea turut mengesahkan cawangannya di Mons mengalami serangan siber yang menyebabkan suhu peti sejuk beku meningkat.

Syarikat penyejukan Belgium, Sabcobel, berkata pihaknya telah mula memperkukuh keselamatan sistem selepas serangan di Perancis pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, sebahagian sistem masih belum dinaik taraf dan merupakan antara yang terjejas dalam kejadian pada Isnin.

Rangkaian pasar raya Delhaize, Colruyt dan Intermarche turut melaporkan masalah penyejukan di Belgium, manakala empat cawangan Delhaize di Luxembourg turut terjejas.

Di Ireland, peruncit Musgrave memaklumkan sebanyak 13 pasar raya Supervalu mengalami gangguan yang disifatkan sebagai insiden siber.

Sebilangan kecil kedai runcit di Belanda juga dilaporkan mengalami masalah sama.

Sementara itu, kumpulan Mosqueteiros di Portugal mengesahkan kepada AFP bahawa tujuh pasar raya Intermarche terjejas akibat serangan siber yang dipercayai menyasarkan penyedia perkhidmatan luar yang bertanggungjawab menguruskan sistem penyejukan.

Sistem Lama Lebih Terdedah Kepada Serangan

Di Sweden, Coop mengesahkan enam daripada kira-kira 800 cawangannya terjejas dalam insiden tersebut.

Jurucakap Coop, Carlos Cancino, berkata masalah telah berjaya diselesaikan dan peti sejuk serta peti sejuk beku kini kembali beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, syarikat itu masih belum mengetahui pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Cancino turut memaklumkan bahawa premis yang terjejas menggunakan sambungan rangkaian mudah alih 4G dan bukannya sistem 5G yang telah dikemas kini, menjadikannya lebih terdedah kepada penggodam.

Sebuah lagi rangkaian pasar raya Sweden, Ica, berkata sebilangan kecil cawangannya turut mengalami masalah penyejukan, namun tidak mengesahkan sama ada ia berpunca daripada serangan siber.

Menurut jurucakap Ica, Helena Johansson, semua premis yang terjejas menggunakan sistem kawalan penyejukan luaran yang dibekalkan pengeluar Denmark, Danfoss.

Syarikat sama turut dikaitkan dengan sistem yang menjadi sasaran serangan siber terhadap peruncit Perancis pada 12 Oktober lalu.

Johansson merujuk semua pertanyaan lanjut kepada Danfoss, yang masih belum memberikan maklum balas terhadap permintaan AFP.

Di Finland, beberapa kedai runcit kecil di bawah kumpulan Kesko turut mengesan suhu penyejukan yang tidak normal.

Ketua keselamatan korporat Kesko, Petri Kayhko, berkata punca gangguan masih dalam siasatan dan kemungkinan campur tangan melalui rangkaian belum dapat diketepikan.

Pakar keselamatan maklumat di Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Finland, Roni Kokkola, turut tidak menolak kemungkinan gangguan siber.

Menurutnya, kejadian serupa telah berlaku di Eropah sejak beberapa bulan lalu dan penyebarannya dari Perancis ke negara lain sememangnya dijangka.

Beliau berkata kelemahan keselamatan sistem kini semakin kerap dieksploitasi dengan lebih aktif dan pantas.

Di Estonia pula, sekurang-kurangnya sebuah pasar raya dilaporkan menjadi sasaran penggodam yang menyebabkan suhu unit penyejukan meningkat sehingga 50 darjah Celsius, menurut penyiar awam ERR.

Pengarah Kitman Coldtech, Jann Mutso, memberitahu ERR bahawa unit berkenaan merupakan model lama yang dibekalkan Danfoss, sama seperti sistem yang menjadi sasaran serangan di Perancis sebelum ini. – AFP

Berkaitan

  • Korea Selatan Bakal Gandakan Perbelanjaan AI Dan Cip Pada 2027
  • Syarikat Minyak UAE, ADNOC Jalin Kerjasama Dengan OpenAI Untuk Guna AI Dalam Operasi

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Google Perkenal Ikon Baharu Untuk Messages, Phone Dan Contacts
  • Lebih 1.3 Juta Set-Top Box Dijangkiti Malware, Google Sekat Salah Satu Pengeluar Peranti Android
  • Syarikat Minyak UAE, ADNOC Jalin Kerjasama Dengan OpenAI Untuk Guna AI Dalam Operasi
  • Rembayung Kini Guna Grab Untuk Tempahan, Satu 'Booking' Setiap Dua Minggu
  • Korea Selatan Bakal Gandakan Perbelanjaan AI Dan Cip Pada 2027
  • HONOR Pad X7b Kini Di Malaysia Dari RM699, Dua Earbuds Baharu Bermula RM59
  • Epson Lancar SureColor SC-F330, Pencetak Sublimasi Desktop A3 Pertamanya
©2026 WISER.MY