Selepas sembilan bulan terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), angkasawan Sunita Williams dan Butch Wilmore akhirnya kembali ke Bumi.
Mereka mendarat di laut berhampiran Tallahassee, Florida, selepas perjalanan selama 17 jam bersama dua lagi angkasawan, Nick Hague dan Aleksandr Gorbunov.
Misi penyelamatan pada 12 Mac sebelum ini dibatalkan pada saat akhir, namun akhirnya berjaya dilaksanakan pada 18 Mac.
Ribuan penonton menyaksikan detik bersejarah ini secara langsung menerusi siaran NASA.
Kapsul angkasa Dragon selamat mendarat tepat pukul 5:57 petang waktu Timur, sebelum pasukan penyelamat tiba kira-kira 25 minit kemudian.
Kesemua angkasawan dalam keadaan baik, sementara menunggu di dalam kapsul sebelum dibawa ke kapal penyelamat.

NASA dalam satu kenyataan memaklumkan, sepanjang misi itu, Williams dan Wilmore berada selama 286 hari di angkasa, sementara Hague dan Gorbunov selama 171 hari. Williams turut mencatat rekod baharu masa berjalan di angkasa oleh angkasawan wanita, iaitu 62 jam dan 6 minit.
Mereka melakukan lebih 150 eksperimen saintifik, termasuk kajian pertumbuhan tumbuhan, teknologi sel stem, dan ujian ketahanan mikroorganisma di angkasa.
Kepulangan Crew-9 juga menandakan misi keempat bagi kapal angkasa Dragon bernama Freedom di bawah Program Komersial NASA, yang bertujuan menyediakan pengangkutan selamat dan kos efektif antara Bumi dan ISS sebagai persediaan untuk eksplorasi lebih jauh ke Bulan dan Marikh.