Secara Purata, Kelajuan Internet Di Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya, Selangor Telah Meningkat Kepada 40Mbps





Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan lawatan tapak bersama dengan wakil penyedia perkhidmatan (telco) iaitu CelcomDigi, Maxis dan UMobile ke Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya, Selangor pada 1 Ogos 2023.

Lawatan itu adalah dibuat selepas aduan kualiti liputan komunikasi lemah yang diterima semasa program inisiatif Ziarah Kasih oleh YB Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil di kampung itu pada 30 Julai 2023 lalu.

Hasil lawatan itu didapati, jarak menara serta kedudukan kampung ini yang dikelilingi pokok kelapa sawit menyumbang kepada gangguan kualiti perkhidmatan.

Kapsyen: Pegawai MCMC bersama penyedia perkhidmatan CelcomDigi, Maxis dan U Mobile menjalankan pengukuran di lokasi aduan disertai oleh Ketua Kampung Bukit Badong, En. Muhammad Nasir Ahmad.


Ekoran itu, MCMC telah mengarahkan pihak telco untuk membuat kerja pengoptimuman rangkaian perkhidmatan dengan kadar segera.

Hasil daripada tindakan telco dan pengukuran yang telah dijalankan di beberapa lokasi mendapati, kualiti perkhidmatan secara keseluruhannya di kawasan ini telah bertambah baik iaitu daripada kelajuan di bawah 2.5Mbps kepada 40Mbps secara purata.

Namun, masih terdapat beberapa kawasan yang memerlukan penambahbaikan.




Sehubungan itu, MCMC telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan untuk menyediakan perancangan jangka panjang dalam masa terdekat bagi menambah baik kualiti perkhidmatan kepada penduduk di Kampung Bukit Badong ini.




Sebagai alternatif kepada pilihan teknologi perkhidmatan komunikasi, pihak penyedia perkhidmatan juga telah menyediakan perkhidmatan talian tetap (fiber) di kawasan ini sejak awal tahun 2022 untuk dilanggani penduduk sekitar.

{suggest}

Sumber: MCMC







(Beli telefon pintar 5G mampu milik di Shopee dan Lazada)