Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
pusat data air_2

Sebuah Negeri Di AS Jadi Yang Pertama Sekat Pembinaan Pusat Data Berskala Besar

Diterbitkan April 15, 2026 oleh ariff bukhari

Maine dijangka menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat yang menyekat pembinaan pusat data berskala besar selepas penggubal undang-undang meluluskan moratorium pada Selasa, dalam usaha mengawal pembangunan pesat didorong perlumbaan kecerdasan buatan (AI).

Rang undang-undang itu telah diluluskan oleh dewan negeri dan senat, dan kini menunggu kelulusan Gabenor Demokrat Janet Mills, menurut penajanya, Melanie Sachs.

Ia akan menjadi undang-undang sekiranya tidak diveto.

“Rang undang-undang ini meletakkan Maine dalam kedudukan untuk bertindak secara terancang dan bertanggungjawab terhadap industri yang berkembang pesat,” kata Sachs.

“Penduduk dan komuniti di seluruh negeri telah meminta badan perundangan mengambil tindakan dan menghentikan sementara projek ini, yang boleh memberi kesan besar kepada pengguna elektrik, grid tenaga serta alam sekitar.”

Ledakan kecerdasan buatan generatif telah menyebabkan permintaan terhadap pusat data meningkat mendadak, dengan puluhan projek muncul di seluruh Amerika Syarikat.

Namun, pembangunan ini turut membawa kos tinggi kerana fasiliti tersebut menggunakan tenaga yang besar, sekali gus memberi tekanan kepada grid elektrik tempatan dan meningkatkan bil elektrik.

Pusat data juga biasanya memerlukan kawasan tanah yang luas, yang sepatutnya boleh digunakan untuk perumahan, perniagaan, rekreasi atau ruang hijau.

Sentimen awam semakin negatif, apabila tinjauan oleh Quinnipiac University mendapati 65 peratus rakyat Amerika menentang pembinaan pusat data di kawasan mereka.

Jika dikuatkuasakan, undang-undang itu akan menghentikan pembinaan pusat data baharu sehingga November tahun depan.

Ia juga mencadangkan penubuhan sebuah majlis khas untuk menilai risiko dan manfaat pusat data yang dicadangkan serta memberi input kepada perancang.

Ketika ini, Maine belum mempunyai pusat data berskala besar, namun beberapa projek telah diumumkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Perbelanjaan pembinaan pusat data di Amerika Syarikat meningkat ketara sejak beberapa tahun lalu, dengan syarikat teknologi melabur puluhan bilion dolar untuk membina infrastruktur dalam usaha mendahului perlumbaan AI.

Undang-undang Maine itu turut melarang pihak berkuasa tempatan mengeluarkan permit bagi pusat data dengan kapasiti elektrik melebihi 20 megawatt.

Maine juga merupakan antara negeri yang menyaksikan kenaikan ketara bil elektrik isi rumah sejak kebelakangan ini, menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga AS.

Tahun lalu, projek pusat data ditolak di dua bandar di negeri itu selepas pegawai terpilih mendakwa pemaju menyembunyikan jumlah penggunaan elektrik dan air oleh fasiliti tersebut, lapor media tempatan. – AFP.

Berkaitan

  • Kami Dah Putus Asa “Dera” vivo V60 Lite 5G Ni
  • Pusat Data AI Cipta "Pulau Haba", Naikkan Suhu Lokasi Berhampiran - Kajian
  • Gelombang Penduduk Di AS Membantah Projek Bina Pusat Data AI Semakin Merebak

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Pulau Pinang Sedang Bangunkan Pulau Silikon, Bakal Tawar 220,000 Peluang Pekerjaan
  • 3 Headphone ANC Bawah RM200
  • Kadar Tambang ECRL Akan Diumumkan Menjelang Akhir Oktober - Operasi Disasar Bermula Pertengahan Disember
  • Tiket Tonton Filem Dan Teater Di Wilayah Persekutuan Dikecualikan Duti Hiburan
  • Belanjawan 2027: Belia Lengkapkan Jam Sukarelawan Layak Terima RM100 E-Dompet Secara 'One-Off'
  • Belanjawan 2027: Kerajaan Tambah 100,000 Langganan AI Percuma, Termasuk ChatGPT
  • TNB Labur RM15 Bilion Perkukuhkan Grid Nasional
  • Belanjawan 2027: NSRC Akan Bangunkan Aplikasi AI, Bantu Pengguna Semak Butiran Mencurigakan
©2026 WISER.MY