Selepas dipra tontonkan kepada umum di acara Malaysia Autoshow 2025 yang telah berlangsung pada Mei lalu, Blueshark akhirnya melancarkan skuter EV SoloEra Solo 1C untuk pasaran tempatan.
Apa yang menariknya dengan skuter ini adalah ia merupakan skuter EV termurah yang boleh anda milikinya di Malaysia ketika ini.
Walaupun harga asalnya adalah RM4,999, tapi dengan tebusan rebat RM2,400 MARiiCas 2WEV dan tawaran istimewa yang tersedia untuk masa terhad sahaja dari 15 Julai 2025 hingga 16 September 2025, anda boleh memiliki skuter elektrik Solo 1C ini hanya pada harga RM599 sahaja.

Jadi, kelayakan dan cara untuk anda mendapatkan skuter ini pada harga istimewa RM599 adalah seperti berikut:
- Untuk menikmati promosi ini, anda WAJIB menjadi ahli Setel atau Mesra Rewards
- Mempunyai sekurang-kurangnya lesen motosikal B2 yang sah
- Warganegara Malaysia berumur 18+
- Berjaya melepasi semakan latar belakang dalaman Blueshark
- Daftar untuk promosi Solo 1C melalui aplikasi Setel atau melalui laman SOLO 1 | BERP
- Isikan maklumat peribadi anda dan muat naik dokumen yang diperlukan termasuk kod QR MARiiCas anda dan lengkapkan tempahan anda dengan membayar deposit tempahan sebanyak RM278.
- Terima pengesahan tempahan daripada Blueshark, lengkapkan pembayaran penuh apabila Solo 1C anda sedia antara 1-6 bulan.
Spesifikasi SoloEra Solo 1C
Antara spesifikasi utama Solo 1C yang perlu anda tahu adalah berat keseluruhan skuter ini bersama baterinya adalah 84kg sahaja.
Ia menggunakan bateri jenis LFP 70.4V 28Ah yang membolehkan skuter EV ini mencapai kelajuan maksimum 75km/j dan memberi julat sehingga 101km.
Ada komitmen bulanan langgan bateri selama 5 tahun
Harga istimewa RM599 itu ditawar selepas tebuasn rebat MARiiCas 2WEV dan pembelian yang dalam tempoh kempen iaitu dari 15 Julai 2025 hingga 16 September 2025 atau sementara stok masih ada.
Tetapi, apa yang perlu anda tahu adalah jumlah RM599 itu hanya meliputi harga kenderaan sahaja.
Terdapat komitmen untuk langganan sewa bateri selama 5 tahun dengan Blueshark yang berharga RM59/bulan.
Caj tambahan sekali dan bulanan dikenakan termasuk sewa bateri pada RM59/bulan dan pek ketersambungan pada RM10/bulan selama 60 bulan.
Walaupun penamatan awal langganan dibenarkan tetapi anda akan dikenakan caj penalti, seperti yang dinyatakan dalam perjanjian bateri.

Promosi terhad, wang tempahan tidak dikembalikan, kecuali…
Walaupun promosi ini hanya akan berakhir pada 16 September nanti, tetapi hanya sebanyak 500 unit Solo 1C sahaja ditawarkan. Jadi, siapa cepat daftar, dialah dapat.
Suka diingatkan, anda perlu membayar deposit tempahan sebanyak RM278. Deposit itu pula tidak akan dikembalikan jika anda membatalkan tempahan.
Baki selebihnya perlu dijelaskan sepenuhnya dan perlu dibayar semasa mengambil skuter tersebut.
Melainkan, pihak Blueshark tidak menghantar kenderaan tersebut kepada anda dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pengesahan tempahan, barulah pelanggan akan ditawarkan peluang untuk membatalkan tempahan dan dikembalikan sepenuhnya untuk pembayaran yang telah dibuat itu.
Perlu tunggu antara 1 hingga 6 bulan
Skuter EV SoloEra Solo 1C ini hanya akan tersedia diambil anda antara 1 hingga 6 bulan selepas permohonan berjaya.
Walau bagaimanapun, kemungkinan besar anda akan menerima Solo 1C anda lebih awal daripada yang dijangkakan.
Pihak SoloEra menyatakan, mereka akan berusaha untuk memenuhi pesanan secepat mungkin menerusi operasi di barisan pengeluaran mereka yang baharu di Glenmarie yang akan beroperasi pada kapasiti penuh bagi memenuhi permintaan di seluruh negara.
Ketahui lebih lanjut tentang kempen miliki motosikal elektrik, SoloEra Solo 1C ini dengan layari Soloera | MyMesra.
{suggest}