Saham Netflix merosot lebih lima peratus pada petang Selasa selepas pengumuman perolehan suku tahunan syarikat itu gagal meredakan kebimbangan pelabur berhubung kelembapan penglibatan penonton dan pertumbuhan hasil.
“Kami tahu terdapat kebimbangan pelabur mengenai pertumbuhan jam tontonan kami,” kata syarikat itu dalam surat kepada pelabur, merujuk kepada kaedah pengukuran penglibatan penonton, sambil menambah bahawa ia “yakin” dapat mempercepatkan semula pertumbuhan berkenaan.
Gergasi penstriman yang berpangkalan di California itu berdepan kesukaran untuk memenuhi harapan pelabur bagi beberapa suku tahunan berikutan persaingan sengit daripada platform penstriman lain serta bentuk hiburan berbeza seperti permainan video dan sukan.
Netflix “menunjukkan prestasi jauh di bawah jangkaan sepanjang 6 hingga 12 bulan lalu” dan pelabur bimbang “tentang trend penglibatan yang hambar, pertumbuhan hasil yang semakin perlahan, prospek pengeluaran margin yang lebih rendah, serta perubahan kepimpinan eksekutif kandungan baru-baru ini,” kata John Belton, pengurus portfolio di Gabelli Funds, dalam satu kenyataan kepada AFP.
Bagi suku ketiga yang berakhir pada September, Netflix mencatatkan hasil sebanyak $12.87 bilion dan pendapatan bersih $3.7 bilion, melebihi jangkaan pelabur menurut FactSet.
Syarikat itu tidak menyediakan angka keseluruhan bagi jam tontonan pelanggan untuk suku tersebut, namun mencatatkan bahawa metrik berkenaan di India meningkat 24 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pada Julai, Netflix menyatakan pelanggan menghabiskan 97 bilion jam menonton kandungan pada separuh pertama tahun ini, peningkatan sebanyak 2 peratus berbanding separuh pertama tahun 2025.
Syarikat itu telah berhenti melaporkan jumlah bilangan pelanggan sejak separuh pertama tahun 2025.
Awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama (co-CEO) Netflix, Ted Sarandos, mengakui bahawa pertumbuhan gergasi penstriman itu berada di bawah jangkaan, sambil menambah bahawa rancangan siaran langsung boleh memberi dorongan yang diperlukan.
“Secara keseluruhannya, kita tidak berkembang sepantas yang saya harapkan,” kata Sarandos semasa persidangan tahunan Bloomberg Screentime di Los Angeles pada 1 Oktober.
Syarikat itu juga dilaporkan bakal mengurangkan kira-kira 6 peratus tenaga kerjanya, atau bersamaan 1,000 pekerjaan, menurut laporan media. – AFP
