Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Netflix featured image_01

Saham Merosot, Netflix Bakal Membuang Seribu Pekerja

Diterbitkan Oktober 15, 2026 · Dikemas kini Oktober 15, 2026 oleh ariff bukhari

Netflix bakal memotong kira-kira 1,000 pekerjaan, atau 6 peratus daripada jumlah tenaga kerjanya, menurut laporan media AS pada Rabu, berikutan platform penstriman tersebut yang mengalami pertumbuhan lebih perlahan.

Apabila dihubungi oleh AFP, syarikat berkenaan tidak memberikan maklum balas secara serta-merta.

 

“Misi kami, untuk menghiburkan dunia adalah sangat ambisius, dan bagi merealisasikannya, kami perlu berdisiplin dalam menentukan keutamaan sumber manusia serta sumber daya kami,” tulis Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bersama, Ted Sarandos dan Greg Peters dalam satu memo dalaman, menurut beberapa laporan media AS.

Kini kukuh di kedudukan teratas pasaran penstriman video, Netflix tidak lagi mampu berkembang pada kadar kepantasan seperti sebelum ini.

Pada suku kedua, hasil pendapatan meningkat 13.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, iaitu lebih perlahan berbanding kadar 16.2 peratus pada suku pertama.

Syarikat yang berpusat di Los Gatos, California itu meramalkan pertumbuhan sebanyak 11.7 peratus bagi suku ketiga yang baru sahaja berakhir.

Beberapa media turut melaporkan penurunan jumlah masa yang dihabiskan oleh pengguna pada platform berkenaan selepas bertahun-tahun mencatatkan pertumbuhan tanpa henti.

Pada awal Julai, Bloomberg melaporkan bahawa purata jumlah tontonan bagi sesuatu siri akan menurun selepas musim pertama.

 

“Langkah pemberhentian pekerja oleh Netflix menunjukkan bahawa syarikat penstriman teratas sekalipun tidak terlepas daripada kelembapan dan kesukaran kewangan,” ulas penganalisis Emarketer, Ross Benes.

“Walaupun syarikat itu akan memperluas peranan dalam sektor sukan, ia mengurangkan tenaga kerja pada ketika pendapatan menjadi jauh lebih penting berbanding pertambahan bilangan pelanggan,” katanya.

 

“Dengan tekanan yang semakin meningkat, Netflix akan cuba mengubah keadaan dengan bergantung kepada kandungan berkos rendah.”

Saham syarikat berkenaan telah merosot sebanyak 15 peratus sejak awal tahun ini. – AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • Cara Tonton Netflix Di PC Pada Kualiti Ultra HD (4K) Di Pelayar Chrome, Edge Atau Safari
  • Langganan Netflix Di Malaysia Naik Harga - Kini Bermula RM19.90 Untuk Pelan Mudah Alih

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Graduan Pelatih Hong Leong Bank Bina Chatbot AI Dan Automasi RPA Dalam Program 12 Bulan
  • 5 Perkara Tentang "Grand Theft Auto VI" Yang Sudah Diketahui Setakat Ini
  • Percuma GTA VI Apabila Anda Beli Konsol PS5 Dengan Pelan CelcomDigi One
  • ASUS Lancar Zenbook 14, Vivobook S14 Dan S16 Baharu, Harga Bermula RM4,299
  • BIMB Mobile Ada Isu Keserasian Dengan Android 17 - Pengguna Diminta Tangguh Kemas Kini
  • OpenAI Perkenal GPT-6 Cyber - Diklasifikasikan Pada Tahap 'Kritikal' Dalam Keselamatan Siber
  • Pusat Data Terbaru Microsoft Di JB Dilengkapi Sistem Pendingin Cekap Guna Air
  • DJI Lancar Power Auro 2000 Elite, Stesen Kuasa 2kWh Lebih Kompak Pada Harga RM6,509
©2026 WISER.MY