Robot humanoid mencatat beberapa rekod baharu dan mencuri perhatian ratusan penonton pada World Robot Games di Beijing hujung minggu lalu, ketika China terus mempamerkan kemajuan dalam industri robotiknya.
Puluhan robot humanoid bersama operator masing-masing berkumpul di arena luncur laju Olimpik Beijing pada Ahad untuk bertanding dalam pelbagai acara termasuk olahraga, tinju, bola sepak dan seni mempertahankan diri.
Pada majlis pembukaan Sabtu, sebuah robot China berjaya memecahkan rekod dunia larian 100 meter milik legenda Jamaica, Usain Bolt.
Robot humanoid berwarna putih tanpa kepala yang dikenali sebagai Tiangong Ultra menamatkan larian dalam masa 9.39 saat, menurut penyiar kerajaan CCTV.
Catatan itu lebih pantas berbanding rekod terbaik Bolt iaitu 9.58 saat yang dicatatkan pada 2009.
Kejayaan itu tidak terhenti di situ. Pada Ahad, model humanoid yang sama turut memecahkan rekod dunia acara 400 meter dengan catatan hampir lima saat lebih pantas.
Tiangong Ultra, yang dibangunkan oleh sebuah pusat penyelidikan di Beijing yang disokong kerajaan tempatan, menamatkan perlumbaan dalam masa 38.16 saat, sebelum catatan tersebut disemak kepada 38.15 saat.

Dalam salah satu acara 400 meter, sebuah robot berwarna putih dilihat menghayunkan tangannya ke kiri dan kanan sambil bergerak mengelilingi trek dalam keadaan condong ke hadapan, sehingga membuatkan penonton tertanya-tanya sama ada ia akan terjatuh.
Robot itu sempat terhuyung-hayang ketika menghampiri garisan penamat, namun berjaya kekal berdiri.
Walaupun begitu, bukan semua robot berjaya menunjukkan prestasi sempurna.
Beberapa robot gagal memulakan perlumbaan, manakala ada yang bergerak hanya pada kelajuan seperti berjalan pantas atau terus terjatuh sebaik sahaja perlumbaan bermula.
Dalam acara bola sepak pula, sebuah robot bersaiz seperti kanak-kanak kecil tersalah menendang bola keluar dari padang melepasi penghadang setinggi lutut.
Bukan Ujian Kecerdasan
Penonton turut terhibur dengan aksi robot yang kadangkala kekok.
Dalam acara tinju, sebuah humanoid tersadung ke tepi gelanggang dan terlipat di atas tali sebelum kekal tidak bergerak sehingga dibantu manusia.

Seorang penonton berusia 72 tahun, Hou Yali, berkata prestasi robot pada hujung minggu itu membuatkannya ingin melihat pertandingan antara robot dan manusia.
Menurutnya, pertandingan seperti itu akan memberi gambaran lebih jelas sama ada mesin benar-benar mampu mengatasi manusia.
Bagaimanapun, beliau berkata acara yang dipertandingkan ketika ini lebih kepada ujian kelajuan dan bukannya ukuran sebenar kecerdasan robot.
“Sekarang ini cuma berlari, cuma pertandingan kelajuan. Ia bukan ujian kecerdasan, atau mengupah seseorang untuk melakukan kerja rumah atau menjadi pembantu di rumah,” katanya.
Hou, yang membayar pembantu untuk membersihkan rumah dan menyediakan makanan setiap minggu, berkata beliau berharap robot pada masa depan mampu melakukan tugasan seperti itu.
Menurutnya, apabila ekonomi negara terus berkembang dan pendapatan rakyat meningkat, lebih ramai mungkin memilih untuk menggunakan robot dalam kehidupan seharian. – AFP
{suggest}
