Reddit merancang untuk mengubah cara pengguna mengakses platformnya dengan beralih kepada pengalaman yang lebih mengutamakan pengguna yang telah log masuk.
Ketua Pegawai Eksekutif Reddit, Steve Huffman, berkata perubahan ini bertujuan meningkatkan pengalaman pengguna, memperkukuh perniagaan pengiklanan, menyesuaikan platform dengan peraturan keselamatan serta melindungi data Reddit daripada akses tanpa kebenaran.
Menurut Huffman, sebahagian besar akses tanpa kebenaran kepada data Reddit, termasuk aktiviti pengikisan data atau data scraping, berlaku melalui pengalaman penggunaan tanpa log masuk.
Namun begitu, beliau berkata akses kepada halaman utama Reddit tanpa log masuk masih berguna dan penting. Reddit juga mahu memastikan pengguna yang datang daripada enjin carian atau pautan yang dikongsi di platform lain masih boleh melihat kandungan yang dirujuk.
Dalam ruangan komen hantaran tersebut, Huffman turut menjelaskan pengunjung sekali-sekala yang datang melalui perkongsian pautan atau hasil carian bukan sasaran utama perubahan ini.
Reddit akan menguji pendekatan baharu tersebut di pasaran terpilih di luar Amerika Syarikat pada suku keempat 2026 sebelum menentukan pelaksanaan secara global.
Perkenal semula mod inkognito
Dalam masa sama, Reddit akan memperkenalkan semula mod inkognito yang telah dibangunkan semula dalam aplikasinya. Melalui mod ini, pengguna boleh melayari dan mencari kandungan Reddit tanpa aktiviti tersebut mempengaruhi akaun yang telah log masuk.
Mod inkognito itu bersifat baca sahaja (read-only), manakala pengguna yang telah log masuk juga masih boleh memilih untuk mematikan fungsi personalisasi kandungan.
Laporan kewangan Q3 2026
Perubahan ini diumumkan ketika Reddit melaporkan keputusan kewangan suku ketiga 2026. Dalam surat kepada pemegang saham, Huffman mendedahkan trafik rujukan daripada enjin carian merosot dengan ketara pada suku tersebut, dengan trafik daripada pengguna yang tidak log masuk dan trafik web paling terjejas.
Beliau berkata, sepanjang Oktober, trafik rujukan daripada carian merosot lebih daripada satu juta secara purata setiap minggu.
Bagaimanapun, Reddit merekodkan purata 130.3 juta pengguna aktif harian unik (DAUq) pada suku ketiga 2026, meningkat 12% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam tempoh sama, pengguna aktif harian yang log masuk dan pengguna aktif harian aplikasi turut mencatatkan pertumbuhan berbanding suku sebelumnya. Secara gabungan, kedua-dua kumpulan pengguna ini menyumbang lebih 80% daripada pengewangan Reddit.
Setakat ini, Reddit masih belum menetapkan tarikh pelaksanaan secara menyeluruh atau memuktamadkan kandungan yang boleh diakses tanpa akaun. Ujian di pasaran terpilih dijangka membantu syarikat itu menentukan keseimbangan antara melindungi platform dengan memastikan kandungannya kekal mudah diakses.
