Google kini memperluas paparan iklan dalam AI Mode ke Malaysia, menjadikan negara ini antara pasaran baharu yang menerima iklan dalam pengalaman carian berasaskan kecerdasan buatan (AI) tersebut.
Selain Malaysia, peluasan ini turut melibatkan Australia, Kanada, India, Kenya, New Zealand, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Singapura.
Menurut Google, pertanyaan yang dibuat menerusi AI Mode secara purata tiga kali lebih panjang berbanding carian biasa, selari dengan perubahan corak carian pengguna yang kini semakin berbentuk perbualan.
Google turut mendakwa bahawa kajiannya mendapati pengguna selesa dengan iklan dalam AI Mode dan menganggapnya relevan. Malah, kadar klik pada penyenaraian produk berbayar dan organik dalam AI Mode dilaporkan hampir sama.
Bagi membezakan iklan daripada kandungan lain, Google akan melabelkannya dengan jelas sebagai “Sponsored”. Syarikat itu juga akan terus menguji format iklan baharu bagi memastikan ia kekal relevan dan berguna kepada pengguna.
Dalam perkembangan berkaitan, Google turut memperkenalkan format iklan multiturn ads di Amerika Syarikat. Menerusi format ini, iklan boleh dipaparkan dalam pertanyaan susulan yang dibuat pengguna ketika menggunakan AI Mode.
