Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Rantau Tropika Akan Paling Terkesan Alami Peningkatan Haba Melampau Menjelang 2050

Posted on Januari 27, 2026Januari 27, 2026

Hampir 3.8 bilion penduduk dunia berpotensi berdepan haba melampau menjelang 2050, dan walaupun negara tropika akan paling terkesan, kawasan beriklim sejuk juga perlu menyesuaikan diri, kata saintis pada Isnin.

Permintaan terhadap penyejukan dijangka meningkat secara “drastik” di negara besar seperti Brazil, Indonesia dan Nigeria, di mana ratusan juta penduduk tidak mempunyai penyaman udara atau kaedah lain untuk mengatasi haba.

Namun, peningkatan sederhana hari panas juga boleh memberi “kesan serius” kepada negara yang tidak biasa dengan suhu tinggi seperti Kanada, Rusia dan Finland, menurut saintis dari Universiti Oxford.

Dalam satu kajian baharu, mereka menilai pelbagai senario pemanasan global bagi mengunjurkan kekerapan manusia mengalami suhu yang dianggap terlalu panas atau terlalu sejuk pada masa depan.

Kajian itu mendapati jumlah penduduk yang mengalami haba melampau dijangka hampir berganda menjelang 2050 jika suhu purata global meningkat 2°C berbanding era praindustri.

Bagaimanapun, sebahagian besar kesan dijangka dirasai dalam dekad ini ketika dunia menghampiri ambang 1.5°C, kata penulis utama kajian, Jesus Lizana.

“Intipatinya ialah keperluan menyesuaikan diri terhadap haba melampau kini lebih mendesak daripada yang difikirkan sebelum ini,” kata Lizana.

Pendedahan berpanjangan kepada haba melampau boleh mengatasi sistem penyejukan semula jadi tubuh, menyebabkan simptom daripada pening dan sakit kepala hingga kegagalan organ dan kematian.

Dikenali sebagai “pembunuh senyap”, kebanyakan kematian akibat haba berlaku secara beransur-ansur apabila suhu tinggi dan faktor persekitaran lain melemahkan kawalan dalaman tubuh.

Perubahan iklim menjadikan gelombang haba lebih panjang dan kuat, dan akses kepada penyejukan—terutamanya penyaman udara—akan menjadi semakin penting pada masa depan.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Sustainability itu mengunjurkan 3.79 bilion orang di seluruh dunia boleh terdedah kepada haba melampau menjelang pertengahan abad.

Negara membangun seperti India, Filipina dan Bangladesh dijangka paling terkesan dari segi kesihatan, manakala negara tropika Afrika menunjukkan peningkatan hari panas berbahaya yang paling ketara.

“Golongan paling kurang bernasib baik akan menanggung beban terbesar trend ini,” kata Radhika Khosla, saintis iklim bandar dan penulis bersama kajian.

Namun, negara kaya di iklim sejuk juga “berdepan masalah besar—walaupun ramai belum menyedarinya,” tambahnya.

– AFP.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress