Kejadian terputus bekalan kuasa di sebuah pusat data Google Cloud berhampiran London telah menyebabkan kegagalan serius terhadap perkhidmatannya pada Selasa, kata gergasi teknologi AS itu, ketika beberapa bank di UK melaporkan gangguan secara meluas.
Google menyatakan dalam kemaskini perkhidmatannya bahawa perkhidmatan Cloud mereka mengalami gangguan “akibat insiden bekalan kuasa”, sambil menambah bahawa pemulihan sepenuhnya dijangka sekitar jam 1:00 petang GMT pada Selasa.
Perkhidmatan bagi bank digital Revolut, termasuk pengeluaran daripada mesin ATM, pemindahan bank, dan penambahan baki kad bank telah terjejas, di mana sumber yang rapat dengan perkara itu mengaitkannya dengan kegagalan Google Cloud.
Pemberi pinjaman UK, Lloyds dan HSBC, turut mengesahkan bahawa pelanggan mereka berdepan masalah dengan perkhidmatan perbankan masing-masing.
Google memaklumkan insiden itu bermula pada jam 6:08 pagi GMT pada Selasa.
“Pelbagai perkhidmatan Google Cloud mengalami peningkatan ralat dan kegagalan rangkaian sekejap-sekejap di rantau europe-west2,” kata Google dalam kemaskini terdahulu, merujuk kepada pusat datanya di London.
Penjejak perkhidmatan internet Downdetector menunjukkan bahawa ratusan laporan telah dibuat mengenai masalah yang menjejaskan perniagaan lain, termasuk laman web hartanah Rightmove dan perkhidmatan pos Royal Mail.
Pihak Lloyds berkata mereka sedar bahawa “sebilangan pelanggan mengalami masalah untuk menggunakan aplikasi dan perbankan dalam talian kami”.
HSBC mengesahkan bahawa pelanggan berdepan “kesukaran untuk mengakses perkhidmatan kami” dan menyatakan bahawa ia akan “memantau situasi tersebut yang turut menjejaskan organisasi lain”.
Jurucakap Revolut berkata bank itu “sedang berusaha memulihkan isu berkenaan sejak ia dikenal pasti” dan memohon maaf “kepada sesiapa yang terjejas atas sebarang kesulitan yang berlaku”.
“Kami boleh mengesahkan bahawa semua wang dan data pelanggan kami adalah selamat,” tambah jurucakap itu dalam satu kenyataan.
– AFP
