Lembaga Tabung Haji (TH) kini memaklumkan perkhidmatan dalam talian antara TH dan Maybank Islamic kembali beroperasi, membolehkan pendeposit meneruskan transaksi seperti biasa melalui perkhidmatan berkenaan.
Sebelum ini, TH turut menyambung semula perkhidmatan dalam talian dengan Bank Islam pada 14 Oktober dan CIMB Islamic pada 16 Oktober. Dengan perkembangan terbaharu ini, perkhidmatan TH melalui tiga bank rakan strategik tersebut telah kembali beroperasi.
Bagaimanapun, TH berkata penyambungan semula perkhidmatan dengan bank rakan strategik lain masih menunggu pengesahan daripada pihak bank terlibat.
Perkhidmatan dalam talian antara TH dan Maybank Islamic telah disambung semula dan para pendeposit kini boleh membuat transaksi seperti biasa.
Perkembangan terkini terutamanya berhubung penyambungan semula perkhidmatan dengan Bank Rakan Strategik yang lain akan dimaklumkan dari… pic.twitter.com/uRdkprbUQh
— Tabung Haji (@Tabung_Haji) October 22, 2026
Gangguan perkhidmatan ini bermula selepas TH mengesan aktiviti siber yang mencurigakan pada 7 Oktober lalu. Sebagai langkah pencegahan, TH melaksanakan penggantungan sementara terhadap perkhidmatan tertentu yang melibatkan pendeposit bagi membolehkan pemantauan menyeluruh dan pemeriksaan keselamatan sistem dijalankan.
Pada 13 Oktober, TH mengesahkan sistem dan perkhidmatan utamanya telah kembali beroperasi selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh, pengukuhan kawalan keselamatan dan langkah pemulihan sistem dilaksanakan.
Namun begitu, pengaktifan semula perkhidmatan melalui bank rakan strategik ini memerlukan pengesahan daripada bank masing-masing. Perkembangan terkini, termasuk status penyambungan semula perkhidmatan dengan bank lain, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
