Apple mula melaksanakan keperluan pengesahan umur untuk pengguna di United Kingdom menerusi kemas kini perisian pada hari Rabu, ketika kerajaan meningkatkan tekanan ke atas syarikat teknologi untuk melindungi kanak-kanak dalam talian.
Pengguna iPhone dan iPad di UK kini perlu mengesahkan umur mereka menggunakan dokumen pengenalan rasmi, kad kredit atau akaun Apple sedia ada — atau berdepan sekatan terhadap kandungan dan ciri tertentu.
“Orang dewasa perlu mengesahkan bahawa mereka berumur 18 tahun ke atas untuk menggunakan sesetengah perkhidmatan atau ciri, atau melakukan tindakan tertentu pada akaun mereka,” kata Apple dalam satu kenyataan di laman webnya.
Mereka yang tidak mengesahkan umur akan tertakluk kepada penapis kandungan web serta alat keselamatan komunikasi yang sama seperti akaun kanak-kanak.
Ini termasuk ciri yang boleh mengesan unsur bogel dalam foto dan panggilan video, selain sekatan kandungan dalam talian yang lebih meluas.
Di UK, kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak dibenarkan membuka akaun Apple tanpa kebenaran penjaga.
Pengawal selia media Britain, Ofcom, menyambut baik langkah tersebut.
“Keputusan Apple menjadikan UK antara negara pertama menerima perlindungan keselamatan baharu untuk kanak-kanak pada peranti adalah satu kemenangan besar bagi kanak-kanak dan keluarga,” kata Ofcom dalam satu kenyataan.
Di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian Britain yang berkuat kuasa pada Julai, platform yang menempatkan kandungan berpotensi berbahaya diwajibkan melaksanakan pengesahan umur yang ketat melalui alat seperti pengecaman wajah atau semakan kad kredit.
Walaupun peraturan itu tidak mewajibkan gedung aplikasi melaksanakan semakan umur, kerajaan UK — bersama negara lain di seluruh dunia — terus mendesak langkah perlindungan lebih kukuh untuk kanak-kanak dalam talian.
Kerajaan Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer turut melancarkan rundingan mengenai cadangan larangan media sosial untuk individu di bawah 16 tahun.
Sebagai sebahagian daripada proses itu, ratusan remaja Britain akan mencuba larangan media sosial serta had masa penggunaan aplikasi.
Australia pada Disember lalu menjadi negara pertama melarang individu di bawah umur 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial yang popular dan menguntungkan.
Beberapa negara lain juga sedang mempertimbangkan langkah serupa, termasuk Perancis, di mana penggubal undang-undang pada Januari meluluskan rang undang-undang melarang penggunaan oleh individu di bawah 15 tahun, namun masih menunggu kelulusan akhir. – AFP.
{suggest}
