Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa pengguna Apple untuk segera mengemas kini peranti iOS masing-masing susulan risiko keselamatan yang dikenal pasti.
Menurut MCMC, Apple telah mengeluarkan kemas kini penting bagi menangani beberapa kerentanan, termasuk rantaian eksploit dikenali sebagai DarkSword yang menjejaskan peranti iPhone.
Kerentanan ini berpotensi membolehkan akses tanpa kebenaran ke peranti, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai aktiviti berniat jahat.
Antara risiko yang mungkin berlaku sekiranya peranti tidak dikemas kini termasuk kebocoran data peribadi, pemasangan perisian hasad atau spyware, kecurian mesej dan fail, serta pemantauan tanpa kebenaran.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk mengemas kini peranti kepada versi iOS terkini dengan segera bagi memastikan perlindungan berterusan.
Selain itu, MCMC turut mengesyorkan pengguna mengaktifkan fungsi kemas kini automatik bagi menerima tampalan keselamatan pada masa hadapan.
Pengguna juga dinasihatkan supaya mengelakkan laman web mencurigakan, hanya memuat turun aplikasi daripada App Store rasmi, serta sentiasa peka terhadap sebarang tingkah laku peranti yang luar biasa.
{suggest}
