Pengeluaran Akaun Fleksibel, Ini Yang Perlu Diketahui

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini telah pun mengumumkan penstrukturan semula akaun, termasuk pengenalan Akaun 3 atau dinamakan "Akaun Fleksibel".

Sementara itu, Akaun 1 dan 2 masing-masing dinamakan semula sebagai Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera.

Berbanding dua akaun sedia ada, simpanan Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh KWSP.

Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan pencarum KWSP, termasuk tarikh mula pengeluaran Akaun Fleksibel dan lain-lain. Teruskan bacaan lanjut bagi mengetahui beberapa perkara mengenainya.

{suggest}

Pelaksanaan penstrukturan semula akaun KWSP


Pelaksanaan penstrukturan 3 akaun KWSP akan bermula pada 11 Mei 2024 dan terpakai kepada semua Ahli KWSP termasuk bukan warganegara Malaysia yang belum mencapai umur 55 tahun pada tarikh berkenaan.

Caruman baharu akaun KWSP


Caruman baharu yang dikreditkan selepas tarikh pelaksanaan akan diagihkan mengikut nisbah 75:15:10 iaitu Akaun Persaraan (75%), Akaun Sejahtera (15%) dan Akaun Fleksibel (10%).


Pilihan pindahan amaun permulaan Akaun Fleksibel


Ahli mempunyai pilihan untuk memindahkan sebahagian baki simpanan dalam Akaun Sejahtera sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel, bermula 12 Mei sehingga 31 Ogos 2024.

Pilihan ini hanya boleh dibuat sekali sahaja pada bila-bila masa sepanjang tempoh tersebut dan tidak boleh dibatalkan.

Sekiranya ahli tidak memilih untuk membuat pindahan amaun permulaan, baki dalam Akaun Sejahtera sedia ada akan kekal serta Akaun Fleksibel akan bermula dengan RM0.

Penentuan pilihan pindahan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel


Sekiranya Akaun Sejahtera mempunyai simpanan RM3,000 dan ke atas, ia akan diagihkan mengikut nisbah berikut:

  • 1/2 kekal dalam Akaun Sejahtera

  • 1/3 ke Akaun Fleksibel

  • 1/6 ke Akaun Persaraan


Jika Akaun Sejahtera mempunyai simpanan RM1,000 dan ke bawah, semua amaun akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan antara RM1,001 dan RM2,999, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.

Tempoh kelulusan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel


Pilihan pindahan amaun permulaan akan berkuat kuasa apabila tindakan pindahan ke Akaun Fleksibel dibuat dalam tempoh 3-5 hari.

Bila boleh mula buat pengeluaran Akaun Fleksibel?


Pengeluaran boleh dikeluarkan pada bila-bila masa setelah pindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel diluluskan.



Bahasa mudahnya, tidak perlu menunggu 1 September 2024. Sebagai contoh, jika pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel diluluskan pada 29 Mei 2024, ahli boleh terus membuat permohonan pengeluaran Fleksibel.


Syarat pengeluaran Akaun Fleksibel


Pengeluaran Akaun Fleksibel boleh dilakukan secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau mana-mana kaunter KWSP. Syarat-syarat pengeluaran adalah seperti berikut:

  • Semua ahli KWSP Warganegara Malaysia dan Bukan Warganegara Malaysia

  • Belum mencapai umur 55 tahun

  • Mempunyai simpanan dalam Akaun Fleksibel; dan

  • Had amaun pengeluaran minimum yang ditetapkan adalah RM50


Kaedah bayaran pengeluaran Akaun Fleksibel


Pengeluaran Fleksibel akan dibayar secara pengkreditan terus ke dalam akaun bank (simpanan atau semasa) ahli yang masih aktif dan didaftarkan atas nama ahli sendiri.

Tempoh bayaran pengeluaran Akaun Fleksibel akan dikreditkan dalam akaun bank


Bayaran akan dibuat dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja selepas permohonan diluluskan.

Dividen Akaun Fleksibel


Difahamkan, dividen yang diberikan untuk Akaun Fleksibel adalah sama seperti Akaun Persaraan dan Sejahtera. Pengiraannya pula akan dilakukan melalui kaedah sedia ada, iaitu kaedah pengiraan dividen pengeluaran.

Untuk maklumat lanjut mengenai penstrukturan semula akaun, layari portal rasmi KWSP.

Sumber: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Gambar utama: Reuters