Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AFP

Pekerja Micron Di Taiwan Tolak Cadangan Bonus Baharu, Tuntut Agihan Keuntungan Lebih Adil

Diterbitkan Oktober 23, 2026 oleh Amsyar Latif

Ratusan pekerja kilang Micron Technology di Taiwan menolak cadangan sistem perkongsian keuntungan baharu yang dikemukakan syarikat pengeluar cip memori Amerika Syarikat itu, ketika permintaan cip untuk kecerdasan buatan (AI) terus melonjak.

Menurut laporan AFP, kesatuan pekerja Micron di Taoyuan memaklumkan kira-kira 70% daripada lebih 2,300 ahlinyamengundi menolak cadangan perkongsian keuntungan yang dibentangkan syarikat pada Khamis.

Peningkatan permintaan global terhadap cip yang digunakan dalam pusat data AI telah melonjakkan pendapatan pengeluar seperti Micron. Namun, pekerja kini menuntut bahagian keuntungan yang lebih besar susulan peningkatan prestasi kewangan syarikat.

Micron, yang menghasilkan sekitar 50% hingga 60% cipnya di Taiwan, telah mengadakan rundingan selama beberapa minggu dengan dua kesatuan pekerja yang mewakili 12,000 daripada keseluruhan 15,000 pekerja di kilangnya di Taoyuan dan Taichung.

Pada Rabu, Micron berjaya mencapai persetujuan dengan kesatuan pekerja di kilang Taichung yang lebih besar. Bagaimanapun, rundingan dengan kesatuan pekerja Taoyuan masih belum mencapai penyelesaian.

Kesatuan Taoyuan turut mengadakan mogok kecil pada Khamis bagi mendesak pihak pengurusan memenuhi tuntutan mereka.

Menurut kesatuan itu, Micron gagal memberikan maklum balas terhadap sebarang tuntutan pekerja dalam rundingan yang berlangsung pada 21 Oktober.

Kesatuan tersebut turut memberi amaran bahawa tindakan kolektif selanjutnya mungkin diambil bagi mendapatkan sistem perkongsian keuntungan yang lebih adil.

Selain itu, kesatuan mendakwa masih menerima aduan daripada pekerja biasa di Taichung yang tidak berpuas hati dengan cadangan syarikat, walaupun persetujuan telah dicapai dengan kesatuan di kilang tersebut.

Micron tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan komen.

Micron Catat Keuntungan Besar Susulan Ledakan AI

Harga saham Micron meningkat lebih 300% sepanjang tahun lalu, didorong oleh permintaan AI yang membantu syarikat mencatatkan pendapatan dan keuntungan rekod.

Pengerusi Micron Taiwan, Lu Donghui, pada Khamis berkata syarikat bersetuju memperkenalkan sistem bonus perkongsian keuntungan setiap suku tahun bermula tahun fiskal 2027 untuk pekerjanya di seluruh dunia, sebagai tambahan kepada bonus tahunan sedia ada.

Bagi pekerja di Taiwan, Micron turut merancang meningkatkan caruman pencen dan elaun syif, selain beberapa langkah lain.

Bagaimanapun, kedua-dua kesatuan sebelum ini menuntut bonus sekali bayar bersamaan 83 bulan gaji, serta sistem tetap yang memperuntukkan 15% daripada keuntungan operasi syarikat sebagai bonus pekerja yang diagihkan setiap suku tahun berbanding setahun sekali.

Pertikaian di Micron menyusuli isu buruh dalam industri semikonduktor Korea Selatan, apabila Samsung Electronics berjaya mengelakkan mogok selepas bersetuju mengagihkan bonus bersamaan 10.5% daripada keuntungan operasi kepada pekerja bahagian semikonduktornya.

Kesatuan Taoyuan memaklumkan rundingan seterusnya dengan Micron dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober, selepas pertemuan pada Jumaat ditangguhkan akibat taufan.

“Perjuangan ini belum berakhir dan kami tidak berputus asa,” menurut kenyataan kesatuan tersebut. – AFP

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Berkaitan

  • Tolak Bonus 68 Bulan, Pekerja Kilang Micron Di Taiwan Mahu Bonus 83 Bulan Gaji
  • Hanya Segelintir Pekerja Micron Taiwan Hari Ini Lancar Mogok Tuntut Bonus 83 Bulan Gaji

Terbaru

  • Barclays Rancang Kurangkan 5,000 Pekerja Susulan Penggunaan AI
  • Majikan Semakin Sukar Cari Pekerja Berkemahiran Teknikal Dan Praktikal - WEF
  • Arc Browser Akhirnya Ucap Selamat Tinggal, Pengguna Digesa Beralih Ke Dia
  • Kerajaan Tidak Tolak Kemungkinan Haramkan Waze Di Malaysia - PM Anwar
  • Filem AI Pertama China Berharga ~RM6.1 Juta Mula Ditayangkan Di Pawagam
  • Bose Rasmi Ambil Alih Skullcandy, Jenama Kekal Beroperasi Berasingan
  • Cara Mohon Gantian MyKad Melalui Aplikasi MyGOV
©2026 WISER.MY