Segelintir pekerja di kilang Micron Technology di Taiwan melancarkan mogok pada Khamis selepas kesatuan mereka dan gergasi cip AS itu gagal mencapai persetujuan berhubung tuntutan pekerja untuk mendapatkan bahagian keuntungan syarikat yang lebih besar, kata seorang pegawai kesatuan.
Permintaan global yang amat besar terhadap cip yang digunakan dalam pusat data AI telah melonjakkan hasil bagi syarikat yang mereka bentuk, mengeluarkan dan memasang cip tersebut.
Namun, ketika pendapatan mereka melambung tinggi, pekerja menuntut bahagian keuntungan yang lebih besar.
Pertikaian Micron ini menyusul selepas perselisihan buruh di Korea Selatan, di mana Samsung Electronics mengelak mogok dengan bersetuju menyalurkan bonus bersamaan 10.5 peratus daripada keuntungan kendalian kepada pekerja semikonduktor mereka.
Lima pekerja Micron yang bermogok berkumpul di luar kilang Taoyuan, berhampiran Taipei, semasa syarikat itu mengadakan panggilan persidangan bersama ratusan pekerja lain di kemudahan berkenaan.
Sepanduk di lokasi tersebut tertera: “Micron gagal mengemukakan skim perkongsian keuntungan. Kesatuan Taoyuan akan memulakan tindakan mogok dengan serta-merta.”
Jerry Lin, pengerusi kesatuan yang mewakili pekerja Taoyuan, memberitahu wartawan:
“Jika anda berputus asa, ketika itulah permainan berakhir. Kesatuan Taoyuan tidak berputus asa. Kami mengadakan perundingan di kerajaan Bandar Taoyuan pada 21 Oktober, tetapi tiada kata sepakat dicapai.” Beliau menambah bahawa rundingan dengan syarikat AS itu akan diteruskan pada Jumaat.
Micron menyatakan pada lewat Rabu bahawa ia “kekal berhasrat untuk mengekalkan komunikasi dan dialog berterusan dengan Kesatuan Taoyuan”.
Lebih 2,000 pekerja di kilang Taoyuan sebelum ini merancang untuk berhenti kerja pada Khamis bagi mendesak bahagian pendapatan syarikat yang lebih besar.
Mogok itu sepatutnya berlaku serentak dengan rundingan perantaraan antara Micron dan kesatuan yang mewakili pekerja di kemudahan lebih besar milik syarikat itu di Taichung.
Mencapai Kata Sepakat
Walau bagaimanapun, dalam kenyataan bersama pada Rabu, Micron dan kesatuan Taichung mengumumkan mereka telah “mencapai kata sepakat mengenai beberapa perkara dan menandatangani perjanjian buruh-pengurusan secara rasmi”.
Tiada butiran lanjut diberikan.
Lin berkata pandangan kesatuan Taoyuan tidak dipertimbangkan secara wajar dalam perundingan di Taichung.
“Mereka sebaliknya mencapai perjanjian sepihak dengan kesatuan Taichung. Kami mengutuk keras perkara ini,” tambahnya.
Wei Yu-ling, seorang lagi pegawai kesatuan, memberi amaran bahawa lebih ramai pekerja Micron boleh menyertai tindakan mogok sekiranya syarikat gagal “mengemukakan cadangan yang ikhlas”.
Lin berkata kesatuan itu “menggesa syarikat untuk mengemukakan cadangan konkrit dan terlibat dalam rundingan substansial, dan bukannya menyatakan, seperti semalam, bahawa ia telah menandatangani perjanjian kerahsiaan dengan kesatuan Taichung dan oleh itu tidak mahu mendedahkan butirannya”.
Selepas mesyuarat bersama Micron pada Khamis, pekerja Taoyuan akan ditanya sama ada mereka menyokong cadangan syarikat itu, mengikut dokumen kesatuan yang dilihat oleh AFP.
Jurutera Hsu Fun-ting, yang telah bekerja untuk Micron selama 26 tahun, berkata beliau “agak kecewa” dengan kegagalan syarikat untuk maklum balas terhadap tuntutan pekerja.
“Kami semua adalah pekerja Micron Taiwan, namun syarikat menandatangani perjanjian hanya dengan kesatuan Taichung, malah meminta mereka menandatangani perjanjian kerahsiaan,” kata wanita berusia 45 tahun itu. “Saya tidak fikir itu cara syarikat patut bertindak.”
Kesatuan-kesatuan sebelum ini menuntut bonus sekali beri (one-off) sebanyak 83 bulan gaji serta sistem kekal yang mengagihkan 15 peratus daripada keuntungan kendalian syarikat sebagai bonus pekerja yang diagihkan secara suku tahunan dan bukannya tahunan.
Micron, yang mengeluarkan kira-kira 50 hingga 60 peratus cipnya di Taiwan, berkata bulan lalu ia akan memberikan bayaran setara sehingga 68 bulan gaji kepada kakitangan, namun bayaran sekali beri itu telah ditolak oleh para pekerja.
