Ratusan pekerja di kilang Micron Technology di Taiwan telah mengundi untuk melakukan tindakan mogok, menurut kesatuan mereka pada Rabu, selepas rundingan bersama gergasi cip memori AS itu berhubung reformasi bonus menemui jalan buntu.
Syarikat cip global, termasuk Micron, telah menjadi penerima manfaat utama daripada lonjakan permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI).
Namun, ketika pendapatan mereka melambung tinggi, ramai pekerja menuntut bahagian keuntungan yang lebih besar.
Micron, yang mengeluarkan kira-kira 50 hingga 60 peratus cipnya di Taiwan, telah terlibat dalam rundingan gaji bersama dua kesatuan pekerja yang mewakili 12,000 daripada 15,000 pekerja di kilangnya di Taoyuan dan Taichung.
Ahli kesatuan di Taoyuan telah “memperoleh hak dari segi undang-undang untuk menjalankan tindakan mogok dan mendirikan barisan piket mogok,” kata setiausaha kesatuan, Chen Yen-kai, dalam satu sidang media.
Daripada 2,258 ahli kesatuan yang layak di kilang Taoyuan, seramai 2,012 telah membuang undi, dengan 1,994 menyokong tindakan mogok dan 14 mengundi menentang, kata Chen.
Empat kertas undi diisytiharkan tidak sah dalam pengundian yang dijalankan sejak beberapa hari lalu.
Jerry Lin, ketua kesatuan Taoyuan, menyatakan bahawa kesatuan itu belum menetapkan tarikh mogok, namun memaklumkan bahawa “mogok mengejut” boleh dipanggil melalui mesej teks kepada ahli-ahli.
Dalam pada itu, beliau menggesa Micron agar mengemukakan “cadangan konkrit” susulan mesyuarat lembaga pengarahnya yang dijadualkan pada 8 dan 9 Oktober (waktu AS) sebelum kesatuan “secara rasmi meneruskan tindakan mogok”.
Kesatuan Taichung, yang mewakili kira-kira 11,000 pekerja di kilang yang lebih besar, memberitahu AFP bahawa rundingannya dengan Micron akan diteruskan mengikut jadual, berasingan daripada pelan mogok di Taoyuan.
Kesatuan-kesatuan tersebut menuntut bonus sekali beri (one-off) setara dengan 83 bulan gaji serta sistem kekal yang memperuntukkan 15 peratus daripada keuntungan operasi syarikat untuk bonus pekerja, yang diagihkan setiap suku tahun berbanding secara tahunan.
“Apa yang kami mahukan ialah mewujudkan sistem pengagihan keuntungan yang terbuka dan telus,” kata Lin, sambil menolak bonus sekali beri syarikat yang disifatkannya menyebabkannya pekerja “tertakluk kepada belas kasihan pihak pengurusan”.
Pengumuman Micron bulan lalu untuk memberi bayaran setara sehingga 68 bulan gaji kepada kakitangan telah ditolak oleh pekerja.
Kesatuan menyatakan bahawa pembayaran sekali beri itu tidak mencukupi dan “jelas ketinggalan” berbanding pesaingnya.
Permintaan global yang amat tinggi terhadap komponen silikon yang digunakan dalam pusat data AI, terutamanya cip memori yang mengalami kekurangan bekalan, telah melonjakkan hasil bagi syarikat yang mereka bentuk, mengeluar, dan mempemasang komponen tersebut.
Tuntutan kesatuan Micron ini menyusuli pertikaian buruh baru-baru ini di Korea Selatan, di mana Samsung Electronics berjaya mengelak mogok dengan bersetuju mengagihkan bonus setara dengan 10.5 peratus daripada keuntungan operasi kepada pekerja semikonduktor mereka.
Perjanjian tersebut bermakna kira-kira 78,000 pekerja daripada 125,000 tenaga kerja domestik Samsung layak menerima bonus sekitar US$370,000 tahun ini, berdasarkan anggaran keuntungan pasaran.
Micron turut mencatatkan keputusan kewangan yang sangat cemerlang.
Syarikat AS itu mencatatkan rekod pendapatan sekitar US133bilion bagi tahun kewangan 2026, melonjak 256 peratus daripada US37 bilion pada tahun sebelumnya.
Micron menyatakan lebih daripada NT1.6trilion ($50 bilion) telah dilaburkan di Taiwan, sambil menyifatkan pulau tersebut sebagai “hab kritikal” mereka. – AFP
{suggest}
