OPPO Reno 10x Zoom Perlihatkan Kemampuan 5G Di Malaysia Mencecah 1.2Gbps

Memasuki pasaran tanah air beberapa bulan yang lepas, siri Reno menjadi bualan hangat para peminat dimana salah satu model mengetengahkan keupayaan zoom sehingga 60x.



Selain menawarkan binaan premium bersama-sama rekaan kamera terangkat cukup unik, siri Reno dari OPPO ini sekali mencuri perhatian kerana ia menjadi antara peranti terawal diuji dengan rangkaian 5G di Malaysia.



Pada acara ujianĀ 5G Live Cluster Field Trial yang dikendalikan oleh Celcom, OPPO Reno 10x Zoom Edition telah memperlihatkan kelajuan muat turun sehingga 1.2Gbps. Ini menandakan OPPO sudah bersiap sedia menjadi pengeluar telefon terawal dalam era 5G negara walaupun ia hanya akan ditawarkan secara komersial beberapa tahun lagi. Acara ujian rangkaian 5G ini turut dihadiri sama oleh pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.



 

CEO OPPO Malaysia, William Fang menyatakan, hasil ujian rangkaian 5G ini, ia memberi peluang kepada mereka untuk mewujudkan inovasi lebih jauh dalam teknologi telefon pintar dan memperkenalkan ciri seperti VR serta AR untuk kegunaan seharian pada masa depan.



Difahamkan juga, OPPO sudah mempunyai pasukan khas dalam membangunkan IoT sejak tahun lalu lagi yang mana ia akan memfokuskan kepada produk dan perkhidmatan merangkumi sukan, penjagaan kesihatan dan lain-lain servis yang bersambungan dengan peranti OPPO.

Kerjasama turut terjalin antara OPPO, Qualcomm dan Ericsson untuk memastikan telefon pintar mereka sentiasa berada di tahap yang terbaik. Di Eropah, OPPO Reno menjadi telefon pintar pertama dikuasakan dengan keupayaan 5G semasa dilancarkan di Switzerland dan mereka merancang untuk meluaskan lagi penawaran ke pasaran yang lain pada bulan-bulan mendatang.