Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Meta Mula Buang Pengguna Bawah 16 Tahun Dari Media Sosial Di Australia

Meta “U-Turn”, Kembali Guna Gas Asli Pacu Pusat Data AI

Diterbitkan Julai 27, 2026 · Dikemas kini Julai 27, 2026 oleh ariff bukhari

Meta telah meninggalkan ikrar global yang dibuat oleh syarikat-syarikat terkemuka untuk mendapatkan kesemua bekalan elektrik mereka daripada sumber boleh diperbaharui, sah gergasi media sosial itu pada Jumaat.

RE100, satu inisiatif di bawah organisasi bukan untung Climate Group yang berpangkalan di UK, bertujuan memangkut tindakan iklim korporat dan mempunyai 444 ahli termasuk Apple, Google, dan Microsoft.

Laman web Climate Group tidak lagi menyenaraikan Meta, syarikat di sebalik Facebook dan Instagram, sebagai salah satu ahlinya.

Berita ini pertama kali dilaporkan oleh Recharge News, sebuah portal berita industri tenaga boleh diperbaharui.

Meta menyertai ikrar berkenaan pada tahun 2016 mengikut rekod arkib Wayback Machine bagi laman web RE100.

Pengunduran ini berlaku di tengah-tengah keghairahan pembinaan pusat data secara besar-besaran oleh syarikat-syarikat teknologi utama.

Meta telah memeterai perjanjian dengan syarikat utiliti untuk membina loji kuasa gas asli baharu, termasuk 10 loji khusus untuk membekalkan tenaga kepada pusat data Hyperion miliknya di Louisiana sahaja.

Jurucakap Meta memberitahu AFP bahawa syarikat itu terus meningkatkan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, dan tindakan keluar daripada RE100 tidak mengubah sasarannya untuk menyesuaikan penggunaan elektrik dengan 100 peratus tenaga bersih.

Menurut laman webnya, syarikat itu telah mencapai sasaran tersebut secara tahunan sejak 2020 melalui kerjasamanya dengan pembekal tenaga boleh diperbaharui menerusi perjanjian pembelian kuasa jangka panjang.

Bagaimanapun, Climate Group memberitahu Recharge News bahawa usaha berkenaan kini tidak lagi mencukupi.

“Selepas beberapa perbincangan mendalam antara Meta dan Climate Group, Meta telah menarik diri daripada inisiatif RE100 kerana tidak lagi dapat memenuhi kriteria teknikal berikutan pelaburan yang dibuat dalam kuasa gas baharu,” kata jurucakap Climate Group kepada portal berkenaan.

Gas asli sekian lama diuar-uarkan sebagai “tenaga penghubung” (bridge fuel) antara bahan api fosil yang lebih mencemarkan dengan tenaga boleh diperbaharui seperti angin dan solar.

Walaupun pelepasannya lebih rendah, aktiviti menggerudi dan mengekstrak gas asli menyebabkan kebocoran metana—sejenis gas rumah hijau yang kuat dan merupakan komponen utama gas asli.

Pembakaran gas asli juga menyebabkan pencemaran udara yang ketara dalam bentuk nitrik oksida, sulfur, merkuri, dan zarah terampai, manakala kaedah keretakan hidraulik atau “fracking” boleh mencemarkan bekalan air bawah tanah.

Meta bukan satu-satunya syarikat yang melakukan perubahan hala tuju ini.

Microsoft telah menandatangani perjanjian dengan Chevron bulan lepas untuk membekalkan elektrik berkuasa gas asli ke pusat datanya di West Texas, manakala laporan akhbar turut mengaitkan Google dengan kerjasama yang serupa. – AFP

Berkaitan

  • Ini Sebab Mengapa OPPO Reno16 Pro Peranti Terbaik Untuk Kaki Vlog
  • Meta Perkenal Facebook Verified - Lencana Percuma Untuk Sahkan Profil Pengguna
  • Meta One Kini Di Malaysia - Ini Pelan Langganan Dan Harga Yang Ditawarkan

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Pulau Pinang Sedang Bangunkan Pulau Silikon, Bakal Tawar 220,000 Peluang Pekerjaan
  • 3 Headphone ANC Bawah RM200
  • Kadar Tambang ECRL Akan Diumumkan Menjelang Akhir Oktober - Operasi Disasar Bermula Pertengahan Disember
  • Tiket Tonton Filem Dan Teater Di Wilayah Persekutuan Dikecualikan Duti Hiburan
  • Belanjawan 2027: Belia Lengkapkan Jam Sukarelawan Layak Terima RM100 E-Dompet Secara 'One-Off'
  • Belanjawan 2027: Kerajaan Tambah 100,000 Langganan AI Percuma, Termasuk ChatGPT
  • TNB Labur RM15 Bilion Perkukuhkan Grid Nasional
  • Belanjawan 2027: NSRC Akan Bangunkan Aplikasi AI, Bantu Pengguna Semak Butiran Mencurigakan
©2026 WISER.MY