Meta nampaknya kini mula memperkenalkan Meta One kepada pengguna di Malaysia, iaitu langganan berbayar yang menghimpunkan pelbagai manfaat merentasi aplikasi dan perkhidmatan Meta.
Bergantung pada pelan yang dipilih, pengguna boleh menikmati ciri premium untuk Facebook, Instagram dan WhatsApp, selain akses penggunaan Meta AI yang lebih tinggi.
Pelan Personal
Bagi kategori Personal, pengguna di Malaysia ketika ini boleh melanggan Facebook Plus, Instagram Plus dan WhatsApp Plus secara berasingan. Harga langganannya ialah RM4.50 sebulan untuk Facebook Plus, RM4.50 sebulan untuk Instagram Plus dan RM3.50 sebulan bagi WhatsApp Plus.
Melalui langganan ini, pengguna memperoleh beberapa ciri premium seperti ikon aplikasi tersuai, pratonton Story, penambahbaikan pada ciri pemesejan serta beberapa fungsi eksklusif lain mengikut aplikasi masing-masing.

Selain langganan berasingan itu, Meta turut menawarkan pelan Meta One Plus dan Meta One Premium untuk kategori Personal. Namun setakat ini, kedua-dua pelan tersebut masih belum dipaparkan kepada pengguna di Malaysia.
Pelan untuk ‘creator’ dan perniagaan
Bagi pencipta kandungan dan perniagaan, Meta menawarkan Meta One Essential pada harga RM42/bulan, dengan percubaan percuma selama sebulan.
Pelan ini merangkumi lencana pengesahan (verified badge) untuk Facebook dan Instagram, perlindungan daripada penyamaran identiti, halaman pautan profil yang dipertingkat serta kuota penggunaan Meta AI yang lebih tinggi. Ia turut menyertakan semua manfaat Facebook Plus danĀ Instagram Plus.
Untuk pencipta kandungan, kuota AI tambahan boleh digunakan bagi menjana lebih banyak imej dan video menggunakan model AI lanjutan. Bagi perniagaan pula, pelan ini memberikan akses yang lebih luas kepada Meta Business Agent di Messenger untuk membantu mengurus perbualan dengan pelanggan.

Pengguna yang memerlukan lebih banyak ciri boleh memilih Meta One Advanced, yang ditawarkan pada harga RM87/bulan dengan percubaan percuma selama sebulan.
Selain merangkumi semua manfaat Essential, pelan ini menambah pelbagai fungsi lain seperti peluang untuk dipaparkan dalam Feed Facebook, butang Follow yang lebih menonjol, jemputan Follow automatik, penjadualan kandungan sehingga setahun lebih awal serta keupayaan menambah pautan boleh diklik pada hantaran dan Reels terpilih.
Meta turut menyertakan ciri analitik yang lebih mendalam, akses berkongsi pengurusan akaun Instagram dengan sehingga empat individu tanpa berkongsi kata laluan, sokongan pelanggan premium serta perlindungan kandungan asal di Facebook dan Instagram.
Ketersediaan
Buat masa ini, Meta One hanya boleh diakses menerusi aplikasi Meta yang disokong pada peranti Android dan iPhone. Meta turut memaklumkan bahawa perkhidmatan ini masih dalam fasa ujian terhad, justeru tidak semua pengguna akan melihat pilihan langganan tersebut.
Untuk melanggan, pengguna perlu berada di negara yang menyokong Meta One serta mempunyai akaun yang aktif dan berada dalam keadaan baik mengikut polisi Meta.
Selain Essential dan Advanced, Meta juga mempunyai pelan Meta One Expert dan Meta One Max. Namun, kedua-duanya dilihat masih belum tersedia di Malaysia, dan berkemungkinan ditawarkan secara berperingkat atau terhad kepada jenis akaun tertentu.
{suggest}
