Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Meta Setuju Bayar Sehingga AS$18 Bilion, Bakal Hadkan Facebook Dan Instagram Remaja 2 Jam Sehari

Posted on Ogos 27, 2026Ogos 27, 2026

Meta bersetuju menyelesaikan kes keselamatan remaja di Amerika Syarikat dengan bayaran sehingga AS$18 bilion (~RM72.5 bilion) kepada negeri-negeri terlibat, selain memperkenalkan beberapa perubahan besar terhadap cara remaja menggunakan Facebook dan Instagram.

Penyelesaian yang dicadangkan itu difailkan di mahkamah persekutuan dan akan menamatkan perbicaraan yang memasuki minggu kedua di California. Bagaimanapun, perjanjian tersebut masih memerlukan kelulusan mahkamah sebelum perlindungan dan kawalan baharu itu boleh dilaksanakan.

Daripada jumlah tersebut, negeri-negeri yang terlibat akan menerima kira-kira AS$12.7 bilionĀ secara ansuran sepanjang tempoh 10 tahun. Baki 30% atau sekitar AS$5.3 bilion pula hanya akan dilepaskan selepas TikTok dan YouTube melaksanakan ciri keselamatan yang ditetapkan serta membuat bayaran yang sepadan dengan nilai 30% tersebut, dengan separuh daripada baki itu bergantung pada bayaran YouTube dan separuh lagi pada bayaran TikTok.

Perubahan untuk akaun remaja

Antara perubahan utama ialah sekatan penggunaan pada waktu malam yang akan diaktifkan secara default. Melaluinya, akaun remaja akan disekat daripada menggunakan Facebook dan Instagram antara tengah malam hingga 6 pagi mengikut waktu tempatan.

Penggunaan harian remaja juga akan dihadkan kepada dua jam secara terkumpul merentasi Facebook dan Instagram secara default. Had tersebut hanya boleh dimatikan dengan kebenaran ibu bapa, manakala masa yang dihabiskan untuk menatal di kedua-dua aplikasi akan dikira dalam jumlah dua jam itu, termasuk apabila Meta mengesan pengguna mempunyai beberapa akaun.

Selain itu, Meta akan memperkenalkan School Mode yang membisukan notifikasi secara default pada waktu persekolahan, peringatan penggunaan berkala, pilihan untuk menggunakan suapan tanpa cadangan algoritma, serta kawalan untuk mematikan autoplay. Jumlah tanda suka dan reaksi pada siaran juga akan disembunyikan secara default daripada akaun remaja.

Meta juga akan memperketatkan perlindungan berkaitan akaun bawah umur, kandungan yang tidak sesuai mengikut umur serta interaksi dengan akaun dewasa yang mencurigakan. Ibu bapa juga akan diberikan lebih banyak kawalan dan maklumat mengenai penggunaan akaun remaja.

Meta menyatakan langkah-langkah tersebut akan terpakai secara automatik kepada pengguna bawah 18 tahun di negeri dan wilayah AS yang terlibat sekiranya ia diluluskan.

Dakwaan terhadap Meta

Sebagai rujukan, kes ini berpunca daripada tuntutan yang dibawa oleh gabungan beberapa negeri AS yang mendakwa Meta sengaja mereka bentuk platformnya untuk menarik pengguna muda supaya terus menggunakannya, mengelirukan orang ramai mengenai risiko platform serta mengumpul data kanak-kanak bawah 13 tahun secara tidak sah.

“Meta telah bersetuju untuk melakukan perubahan besar-besaran yang akan mengurangkan risiko kemudaratan daripada platformnya, dan akan melaksanakannya dalam tempoh beberapa bulan,” kata Peguam Negara California, Rob Bonta, dalam satu kenyataan yang dipetik AFP.

Beliau menyifatkan hasil tersebut sebagai “perubahan sebenar, ketelusan sebenar dan perlindungan sebenar untuk kanak-kanak yang boleh dikuatkuasakan”.

Bagaimanapun, dokumen mahkamah menegaskan bahawa penyelesaian tersebut tidak bermaksud Meta mengakui liabiliti atau melakukan sebarang salah laku. Meta sebelum ini konsisten menafikan dakwaan yang dikemukakan terhadapnya.

Sepanjang perbicaraan, Ketua Instagram, Adam Mosseri, turut memberi keterangan. Beliau mengakui mempromosikan ciri keselamatan baharu untuk remaja tanpa mendedahkan bahawa kadar penggunaan ciri tersebut adalah rendah dalam ujian awal beberapa tahun lalu.

Saksi lain pula mendakwa Meta mengetahui ciri keselamatan itu tidak berkesan, malah ada yang menyifatkannya sebagai ciri yang “direka untuk gagal”. Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, sebelum ini dijangka turut memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress