Seorang bekas pengarah kejuruteraan Meta mendakwa sesetengah alat keselamatan untuk Facebook dan Instagram sebenarnya “direka untuk gagal”, sekali gus bercanggah dengan strategi pembelaan syarikat dalam satu perbicaraan penting di California.
Memasuki hari kedua perbicaraan, Meta terus berdepan tuduhan daripada gabungan beberapa negeri di Amerika Syarikat bahawa syarikat itu sengaja mereka bentuk produknya untuk membuat kanak-kanak terus menggunakannya dan mengumpul data mereka, selain mengelirukan orang ramai.
Kekalahan bagi gergasi media sosial itu boleh menyebabkan Meta dikenakan penalti AS$200 bilion, serta memaksa perubahan asas terhadap model perniagaannya dan memberi kesan besar kepada industri secara keseluruhan.
Meta tidak menafikan sesetengah pengguna, termasuk remaja, boleh mengalami pengalaman negatif ketika menggunakan Facebook dan Instagram. Namun, syarikat itu menegaskan bahawa ia telah membangunkan pelbagai ciri untuk mengurangkan risiko tersebut.
“Tiada pertikaian bahawa Meta telah menyedari bahawa sesetengah orang boleh menghadapi masalah dalam penggunaan media sosial dan telah cuba menghasilkan alat untuk membantu mereka,” kata peguam Meta, Paul Schmidt, dalam kenyataan pembukaan pada Selasa.
Bagaimanapun, Meta menjadikan sebahagian daripada alat tersebut sebagai pilihan kepada pengguna, bermakna mereka perlu mengaktifkannya sendiri. Ini termasuk ciri “Take a Break” yang dilancarkan pada 2021 dan membolehkan pengguna menetapkan peringatan untuk berehat daripada menatal di Instagram.
“Berdasarkan pengalaman saya, ‘Take a Break’ ialah ciri yang direka untuk gagal,” kata Arturo Bejar, bekas pengarah kejuruteraan Meta, ketika memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan yang dijangka berlangsung kira-kira enam minggu.
Bejar merupakan saksi pertama yang tampil memberi keterangan dan mendakwa syarikat itu mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan dengan menggalakkan orang ramai meluangkan semakin banyak masa di Facebook dan Instagram.
Strategi tersebut membawa kepada keputusan seperti menjadikan ciri keselamatan sebagai pilihan, termasuk alat yang direka untuk menangani tabiat menatal tanpa henti atau mengehadkan pemberitahuan yang menarik perhatian.
“Notifikasi dibina dan direka untuk membawa pengguna kembali ke platform supaya mereka meluangkan lebih banyak masa dan menjana lebih banyak pendapatan. Ia bukan direka untuk menjaga kesihatan mental atau keselamatan pengguna,” katanya lagi.
Beberapa hari sebelum perbicaraan bermula, Meta cuba menghalang Bejar daripada memberi keterangan, namun tindakan itu ditolak oleh hakim.
Titik perubahan besar
Ramai pakar menyifatkan perbicaraan terhadap Meta ini sebagai satu “Big Tobacco moment” bagi industri media sosial, merujuk kepada kes besar melibatkan syarikat tembakau di Amerika Syarikat pada 1990-an yang membawa kepada penalti berbilion dolar serta perubahan terhadap cara produk dipasarkan.
Begitu juga, puluhan negeri kini sekali lagi campur tangan dalam perkara yang “gagal ditangani Kongres”, kata Peguam Negara Colorado, Phil Weiser, pada petang Selasa.
Kes tembakau dan media sosial kedua-duanya melibatkan “kesihatan awam, dan dalam sesetengah kes, pemasaran kepada kanak-kanak yang memudaratkan kanak-kanak,” sambung Weiser.
Dalam kenyataan pembukaan pada Selasa, pendakwa raya California, Megan O’Neill, menggambarkan model perniagaan Meta sebagai sesuatu yang bertujuan untuk “memancing pengguna, mengekalkan mereka selama mungkin, mengumpul data mereka, kemudian menyembunyikan kebenaran daripada orang ramai”.
O’Neill berkata Meta mengambil kesempatan terhadap cara otak kanak-kanak berfungsi.
Antara saksi utama yang dijangka memberi keterangan ialah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, serta ketua Instagram, Adam Mosseri. Bagaimanapun, pihak berkuasa California setakat ini belum mengesahkan sama ada Zuckerberg akan dipanggil ke mahkamah.
Sebelum perbicaraan bermula, syarikat itu menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa ia telah bekerjasama dengan ibu bapa, pakar serta pihak penguat kuasa untuk memasukkan ciri perlindungan bagi kanak-kanak. – AFP
{suggest}
