Penerbit Grand Theft Auto VI (GTA 6) memperoleh perintah mahkamah pada Jumaat yang mengarahkan Microsoft dan Discord menyerahkan data dalam usaha mengenal pasti sumber kebocoran yang tersebar dalam talian sejak kebelakangan ini.
Dua hakim persekutuan di New York meluluskan permohonan sepina (subpoena) berkenaan pada Jumaat, sehari selepas ia difailkan, berdasarkan dokumen mahkamah yang diteliti AFP.
Bagi mendapatkan perintah tersebut, Take-Two Interactive, syarikat induk Rockstar Games yang merupakan pembangun GTA 6, perlu menyatakan bahawa video yang disiarkan dalam talian menghasilkan semula bahan yang hak ciptanya dimiliki oleh syarikat itu, iaitu dakwaan yang tidak pernah disahkan secara terbuka oleh syarikat berkenaan.
Menurut dokumen mahkamah, “bahan berhak cipta itu termasuk tetapi tidak terhad kepada kandungan audiovisual, karya seni, imej, dialog atau elemen kreatif lain“.
Kebocoran itu dikaitkan dengan akaun menggunakan nama samaran Cyberleek, yang pihak di sebaliknya mendakwa bertindak untuk mendedahkan amalan perniagaan dalam industri tersebut. Rockstar Games dikritik kerana menjual versi GTA 6 untuk prapesan dengan kandungan tambahan pada harga lebih tinggi, selain menawarkan permainan itu dalam format digital sahaja.
Rockstar dan Take-Two setakat ini tidak memberikan sebarang komen mengenai kebocoran tersebut, yang terus beredar dalam talian termasuk menerusi klip baharu yang memaparkan watak dalam permainan mencuri sebuah kereta sport.
Kebocoran berterusan itu dilihat menjejaskan kempen pemasaran besar-besaran GTA 6 yang telah berlangsung hampir tiga tahun sejak treler pertamanya diperkenalkan.
Berkenaan sepina tersebut, Take-Two meminta Microsoft menyerahkan data berkaitan platform GitHub, tempat bahan berkenaan didakwa dimuat naik, manakala Discord pula diminta memberikan maklumat berkaitan akaun dan ruang sembang yang digunakan untuk menyebarkan kebocoran itu.
Laporan mengenai dokumen berkenaan menunjukkan Take-Two turut meminta data yang boleh membantu mengenal pasti tiga akaun yang disyaki mempunyai kaitan dengan kebocoran, serta maklumat mengenai semua ahli forum di mana kebocoran tersebut tersebar.
Kedua-dua syarikat perlu memberikan maklum balas menjelang 4 September.
Dalam perkembangan terbaharu yang dilaporkan secara berasingan, Take-Two turut memohon sepina terhadap X dan Google bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu mengenal pasti pihak di sebalik beberapa akaun yang dikaitkan dengan kebocoran GTA 6.
{suggest}
