Aplikasi TuJu kini sedang mengalami gangguan teknikal susulan peningkatan ketara jumlah pengguna selepas saranan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.
Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan pihaknya bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), sedang mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi bagi menampung pertambahan pengguna.
Sepanjang tempoh ini, fungsi navigasi akan terganggu sementara, manakala paparan CCTV dan fungsi lain yang tersedia masih boleh digunakan seperti biasa.

Pada masa yang sama, LLM dan PCSB turut meneliti maklum balas pengguna berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman menggunakan aplikasi tersebut. Penambahbaikan akan diteruskan bagi memastikan TuJu dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna.
KENYATAAN MEDIA LEMBAGA LEBUHRAYA MALAYSIA:
LLM DAN PCSB GIAT LAKSANAKAN PEMULIHAN DAN PENAMBAHBAIKAN APLIKASI TuJu pic.twitter.com/ZWV6RJVLCt— LLM (@LLMrasmi) October 22, 2026
Untuk rekod, TuJu mula diperkenalkan pada 26 November 2025 sebagai aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan oleh PCSB dengan kerjasama LLM. Selain menyediakan maklumat perjalanan, aplikasi ini turut menawarkan maklumat keadaan trafik serta kemudahan dan bantuan kecemasan bagi menyokong keperluan pengguna sepanjang perjalanan di lebuh raya.
LLM turut memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan pihak berkaitan bagi memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, termasuk aspek keselamatan siber dan tadbir urus data.
Menurut LLM, perkembangan mengenai proses pemulihan dan penambahbaikan TuJu akan dimaklumkan melalui saluran rasmi LLM dan TuJu.
