Selepas mengacah Legion C700 pada Julai lalu, Lenovo kini mendedahkan spesifikasi penuh konsol permainan mudah alih yang dibangunkan khusus untuk permainan awan (cloud gaming) itu.
Berbeza dengan siri Legion Go yang direka untuk menjalankan permainan PC secara tempatan, Legion C700 lebih memfokuskan penstriman permainan menerusi platform Tencent START. Peranti itu menjalankan Android 16 bersama antara muka Legion Stream.
Dari segi paparan, Legion C700 dilengkapi skrin IPS berukuran 7.82 inci dengan resolusi 1920 x 1080 piksel, nisbah 16:9 dan kadar segar semula 120Hz. Skrinnya turut menawarkan kecerahan maksimum sehingga 500 nits.
Walaupun dibangunkan untuk permainan awan, Lenovo melengkapkannya dengan cip MediaTek Dimensity 7400 berasaskan proses 4nm serta sistem penyejukan menggunakan kipas dan sinki haba.

Lenovo mendakwa Legion C700 mampu menstrim permainan AAA seperti Black Myth: Wukong pada kadar 60FPS dengan kependaman sekitar 10ms. Namun, prestasi tersebut masih belum disahkan melalui ujian bebas.
Untuk kawalan permainan, ia menggunakan joystick TMR, picu Hall effect serta butang makro. Penggunaan teknologi tersebut juga bertujuan memberikan kawalan lebih tepat dan mengurangkan risiko masalah seperti stick drift.
Legion C700 turut dilengkapi bateri berkapasiti 8,000mAh. Peranti ini mempunyai ukuran 293 x 117 x 15mm dengan berat sekitar 556 gram.

Di China, Legion C700 dengan RAM 8GB dan storan 256GB ditawarkan pada harga promosi bermula 1,499 yuan (~RM890), berbanding harga runcit 2,199 yuan (~RM1,300).
Prapesan akan dibuka di China pada 8 September 2026. Lenovo turut menyediakan varian lebih rendah dengan RAM 6GB dan storan 128GB, namun harga serta tarikh jualannya masih belum diumumkan.
Buat masa ini, Lenovo juga belum mengesahkan sama ada Legion C700 akan dipasarkan secara global.
{suggest}
