Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Kod QR, Inovasi Dari Krisis Kod Bar Di Kilang Toyota Yang Mengubah Dunia

Posted on Julai 2, 2026Julai 2, 2026

Bayangkan senario ini, anda mahu membayar barangan di kaunter, dan hanya dalam masa 0.03 saat sahaja, imbasan telefon pintar anda selesai.

Hari ini, sistem yang dinamakan sebagai kod QR (Quick Response) boleh dikatakan mengawal segala-galanya—daripada sistem pembayaran digital, pembukaan pintu platform kereta api, sehinggalah ke pas masuk penerbangan.

Malah ia telah diiktiraf sebagai antara ciptaan teragung era moden setaraf dengan GPS dan Wi-Fi.

Namun, tahukah anda bahawa kod QR lahir di sebuah sudut kecil sebuah syarikat komponen komputer dan kereta di Jepun bernama DENSO.

Malah ia berjaya disiapkan dalam tempoh 2 tahun oleh 3 orang pekerja sahaja.

Masahiro Hara, pencipta kod QR.

Cabaran “Krisis 10 Kod Bar” Di Kilang Toyota

Pada tahun 1992, industri automotif Jepun sedang memuncak. Toyota mengeluarkan jutaan kenderaan setahun menggunakan sistem inventori yang sangat ketat.

Masalahnya, sistem tersebut bergantung kepada kod bar tradisional yang hanya mampu menyimpan 13 digit.

Apabila teknologi kereta semakin canggih, maklumat komponen menjadi terlalu banyak.

Kesannya? Pekerja kilang terpaksa menampal sehingga 10 kod bar berbeza pada satu kotak komponen dan mengimbasnya satu demi satu.

Keadaan ini menyebabkan huru-hara, ditambah pula dengan kesan minyak dan kotoran kilang yang membuatkan kod bar gagal dibaca.

Rajah di atas menunjukkan 2 jenis kod 2D yang dibangunkan di AS dahulu. Kotak segi empat sama itu adalah Data Matrix. Kelebihannya adalah saiznya yang kompak, tapi sukar diimbas. Kod dalam saiz segi empat tepat pula dipanggil PDF417. Ia adalah kod bar berlapis yang boleh menyimpan lebih banyak data tapi saiz kodnya terlalu besar.
Ini pula adalah MaciCode, dibangunkan oleh syarikat logistik AS. Ia memiliki ruang yang mencukupi untuk menyimpan data alamat, sekitar 96 karakter. Jadi, ia mempunyai had kapasiti storan.

Melihat situasi itu, seorang jurutera bernama Masahiro Hara nekad mencari jalan keluar.

Disebalik pekerja yang pendiam dan gemar bekerja sendirian, Hara mahu menyemai ‘benih’ inovasi yang mampu mengubah dunia di mana beliau memegang erat kata-kata azimat mendiang ayahnya:

“Sesuatu tidak akan tumbuh jika kamu tidak menyemai benihnya.”

Jadi, bermula di sebuah sudut makmal yang sunyi pada tahun 1992, Hara bergandingan dengan Motoaki Watabe, seorang jurutera muda yang ketika itu kurang keyakinan diri dan sering menunggu arahan.

Motoaki Watabe, pencipta bersama kod QR.

Penanda Unik

Cabaran terbesar mereka adalah menghasilkan kod yang boleh dibaca dengan sangat pantas tanpa keliru dengan teks atau simbol di sekelilingnya.

Idea membangunkan kod QR sebenarnya datang secara tidak sengaja apabila Hara melihat corak tingkap bangunan dari dalam kereta api.

Beliau menyedari kod tersebut memerlukan satu ‘penanda unik’.

“Tingkat bawah sebuah bangunan mempunyai tingkap yang seragam, tetapi tingkat atas berbeza dari segi saiz dan jarak. Ketika itulah saya terfikir, mungkin ia hanya memerlukan penanda yang jelas untuk menonjol.”

Jadi, untuk mencari bentuk penanda yang paling jarang wujud di dunia, mereka mengumpul ribuan majalah, akhbar, dan dokumen, lalu menganalisis nisbah kawasan hitam dan putih menggunakan komputer sepanjang malam.

Mereka menukar aksara dan simbol kepada hitam putih dan menganalisisnya pada komputer.

Mereka memeriksa nisbah corak hitam putih satu persatu. Nisbah corak bahagian yang diimbas ialah 1:2:1 atau 2:3:6:3:1 dengan matlamat untuk mencari corak yang paling jarang ditemui dan menggunakannya sebagai penanda.

Namun, eksperimen yang mereka jalankan pula sering kali gagal dan komputer menjadi freeze (tergendala).

Akhirnya selepas berbulan-bulan buntu menemui penyelesaian ringkas dan unik itu, mereka mendapatkan bantuan daripada Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Toyota dengan membawa masuk penyelidik muda kecerdasan buatan (AI) pada ketika itu bernama Takayuki Nagaya sebagai ahli ke-3.

Takayuki Nagaya.

Keajaiban Nisbah 1:1:3:1:1

Selepas berbulan-bulan mengimbas dalam mencari penanda unik, mereka akhirnya menemui paten ratio hitam dan putih yang paling menonjol iaitu nisbah 1:1:3:1:1.

Petak ringkas yang memaparkan ratio yang sama dalam semua arah dan menjadi asas kepada kod 2 dimensi.

Corak petak berkotak di tiga penjuru kod QR ini mempunyai nisbah matematik yang tidak akan ditiru oleh mana-mana tulisan manusia di dunia.

Ia membolehkan kod diimbas dari mana-mana sudut sekalipun.

Petak dengan ratio 1:1:3:1:1 inilah menjadi penanda yang membolehkan kod QR diimbas dengan sangat pantas walaupun dikelilingi dengan teks dan simbol.
Petak dengan ratio 1:1:3:1:1 inilah menjadi penanda yang membolehkan kod QR diimbas dengan sangat pantas walaupun dikelilingi dengan teks dan simbol.

Bagi menyempurnakan kod ini, di sinilah Takayuki Nagaya memainkan peranannya di mana dia berjaya memuatkan formula matematik Reed-Solomon, satu teknik matematik lanjutan yang digunakan dalam komunikasi dan CD.

Sebulan selepas itu, dia berjaya menyempurnakannya dan hasilnya, kod QR tetap boleh dibaca walaupun 30% daripada permukaannya kotor atau koyak serta sepantas 0.03 saat apabila diimbas.

Kod QR mula digunakan dalam kilang dan meningkatkan produktiviti dengan sangat berjaya.

Strategi ‘Permainan Go’: Mengorbankan Hak Cipta Demi Dunia

Apabila kod ini berjaya disiapkan, syarikat DENSO boleh sahaja mematenkan teknologi ini untuk mengaut keuntungan bilion dolar.

Namun, Hara melakukan satu tindakan yang sangat berani iaitu menjadikan penggunaan kod QR secara percuma kepada seluruh dunia.

Falsafah ini diambil oleh Hara daripada permainan papan tradisional Jepun, Go, yang sering dimainkan bersama ayahnya.

Dalam permainan Go, kadangkala anda perlu mengorbankan beberapa buah batu di atas papan demi membina kubu pertahanan yang lebih besar dan memenangi perlawanan.

Strategi mengorbankan keuntungan jangka pendek ini membuahkan hasil luar biasa.

Kerana ia percuma, kod QR telah diterima sebagai standard antarabangsa (ISO) pada tahun 2000.

Apabila era telefon pintar meletus, kod QR terus memonopoli dunia digital.

Nama Asalnya Bukan Kod QR

Satu trivia menarik mengenai nama kod QR. Nama asal yang diberikan oleh Hara untuk ciptaannya ini bukanlah Kod QR , sebaliknya adalah “Quick Tag” (QT Code).

Namun, apabila nama itu dibawa ke undian peringkat syarikat, nama “QT” ditolak oleh majoriti pekerja kerana ia menyerupai nama sebuah watak manga dan dianggap tidak sesuai dengan imej korporat.

Hara kalah undian 3 lawan 4 (walaupun disokong oleh Watabe). Maka, lahirlah nama “Quick Response” (QR).

Jadi, apabila setiap kali anda mengeluarkan telefon untuk mengimbas kod QR, ingatlah bahawa petak hitam putih itu adalah hasil titik peluh sekumpulan wira tak didendang di sebuah kilang komponen kereta, yang berani menyemai benih impian sehingga ia tumbuh menjadi ruji kehidupan manusia sejagat.

(Artikel ini diolah daripada video dokumentari terbitan NHK WORLD Japan: Project X Unsung Heroes).

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress