Satu percubaan baharu dalam usaha memecahkan rekod dunia kenderaan darat terpantas bakal diadakan tidak lama lagi.
Tapi, berbeza dengan rekod dahulu yang menggunakan enjin diesel, percubaan kali ini pula akan menggunakan bahan bakar mampan, hidrogen.
Ia selepas JCB mengumumkan untuk memecahkan rekod kelajuan darat dunia menggunakan kenderaan berkuasa hidrogen yang dikenali sebagai JCB Hydromax.
Percubaan itu akan dibuat di Tasik Garam Bonneville, Utah, Amerika Syarikat.

Pengumuman ini dibuat 20 tahun selepas kejayaan JCB Dieselmax mencatat rekod dunia kelajuan kenderaan diesel FIA pada Ogos 2006 dengan mencatatkan kelajuan 350.092 batu sejam (563.42 km/j), rekod kenderaan darat terpantas yang masih kekal hingga ke hari ini.
Apa yang menariknya adalah percubaaan ini sekali lagi akan dilakukan oleh Andy Green, individu yang bertanggungjawab memandu JCB Dieselmax pada 2006 dahulu.

JCB Hydromax menggunakan dua enjin pembakaran hidrogen keluaran JCB sendiri yang menghasilkan gabungan kuasa sehingga 1,600 kuasa kuda (bhp).
Projek ini merupakan sebahagian daripada pelaburan £100 juta yang dilaksanakan JCB sejak lima tahun lalu bagi membangunkan teknologi enjin hidrogen sifar emisi.
Untuk memcahkan rekod sebelum ini, JCB Hydromax disasarkan untuk mencapai kelajuan melebihi 350 mph ( 563.27 kilometer sejam).
Presiden FIA (Fédération Internationale de l’Automobile), Mohammed Ben Sulayem menyifatkan percubaan itu sebagai detik bersejarah bagi teknologi dan inovasi automotif dunia.
Menurut beliau, projek tersebut bukan sahaja bertujuan memecahkan rekod kelajuan, malah mampu membuka lembaran baharu dalam pembangunan teknologi pengangkutan mampan berprestasi tinggi.

Pengerusi JCB, Anthony Bamford berkata, projek berkenaan bertujuan membuktikan keupayaan teknologi hidrogen sebagai alternatif utama kepada bahan api fosil.
Beliau menegaskan bahawa jika dunia serius mahu mengurangkan pelepasan karbon, hidrogen perlu diberi perhatian besar dalam industri automotif dan jentera berat.
Ujian awal JCB Hydromax akan dijalankan di Britain sebelum pasukan itu berlepas ke Bonneville SpeedWeek pada Ogos ini untuk percubaan rasmi yang akan turut disertai oleh pelbagai peserta dari seluruh dunia dalam usaha memcah rekod dunia di bawah pengawasan FIA.
“Kami gembira kerana FIA akan merasmikan percubaan ini dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan pasukan JCB kerana ia menyasarkan rekod kelajuan darat hidrogen yang baharu.”Malcolm Wilson OBE, Timbalan Presiden Sukan FIA.
Jika berjaya, Hydromax akan menjadi bukti bahawa hidrogen mampu bersaing dengan bahan api tradisional dalam arena kelajuan ekstrem.
{suggest}
