Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup cip kecerdasan buatan (AI) canggih menerusi rampasan 30 unit server yang dianggarkan bernilai RM49.5 juta.
Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL), Aspalila Ag Tuah, berkata rampasan itu dilakukan selepas pemeriksaan di zon perdagangan bebas lapangan terbang berkenaan pada bulan ini.
“Server berkenaan diisytiharkan sebagai ‘komponen elektronik’ untuk mengelakkan pengesanan oleh pihak berkuasa.. Siasatan awal mendapati server berkenaan akan dieksport semula ke sebuah negara lain di Asia,” kata Aspalila dalam satu sidang media.
Menurut beliau, sindiket berkenaan menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit bagi memastikan tiada sekatan dikenakan sepanjang proses eksport server itu ke negara destinasi seterusnya.
Aspalila berkata server berkenaan berasal dari “sebuah negara Asia”, namun tidak mendedahkan secara terperinci negara asalnya, lokasi pembuatan cip atau destinasi penghantaran tersebut.

Rampasan terbaharu ini merupakan kes kelima tahun ini yang melibatkan sindiket penyeludupan cip AI canggih, dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi AS$24 juta (~RM97.89 juta).
Malaysia memperketat kawalan eksport dan penghantaran semula cip dari Amerika Syarikat pada tahun lalu. Langkah itu termasuk keperluan mendapatkan permit perdagangan strategik serta membuat pemberitahuan awal sekiranya terdapat syak wasangka bahawa cip berkenaan mungkin disalahgunakan atau dialihkan ke destinasi lain.
Pada masa sama, Amerika Syarikat turut memperketat sekatan terhadap penghantaran semikonduktor canggih melalui Malaysia dan Thailand bagi membendung pengalihan cip berkenaan ke China.
“Kes ini masih dalam siasatan lanjut dan syarikat yang menguruskan penghantaran berkenaan telah dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.
Siasatan terhadap kes rampasan terbaharu ini masih berjalan. Syarikat yang menguruskan penghantaran berkenaan juga telah dipanggil untuk membantu pihak berkuasa dalam siasatan lanjut. – AFP
