Apple kini turut mengeluarkan iOS 26.7 dan iPadOS 26.7 bagi pengguna yang belum mahu beralih kepada iOS 27 dan iPadOS 27.
Menurut nota keselamatan Apple, iOS 26.7 dan iPadOS 26.7 membawa lebih 80 tampalan keselamatan merangkumi pelbagai komponen sistem, termasuk Accelerate Framework, Accessibility, APFS, Apple Neural Engine, Bluetooth, CoreMedia, ImageIO, Kernel, SceneKit dan WebKit.
Antara isu yang ditangani termasuk kelemahan yang boleh menyebabkan aplikasi mengakses data sensitif, menyebabkan proses atau sistem terhenti, merosakkan memori kernel dan melaksanakan kod secara arbitrari. Apple turut menyenaraikan beberapa kelemahan berkaitan pemprosesan fail imej dan video yang direka khas.
Dalam pada itu, Apple turut menyenaraikan lebih 100 tampalan keselamatan untuk iOS 27 dan iPadOS 27. Daripada pembaikan keselamatan dalam iOS 26.7, 75 daripadanya dikongsi dengan iOS 27, menunjukkan sebahagian besar isu keselamatan yang ditangani adalah sama antara kedua-dua versi.
Walaupun tiada satu pun daripada kelemahan tersebut diketahui telah dieksploitasi secara aktif, butiran mengenainya kini telah diterbitkan. Peranti yang masih menjalankan versi lama dan belum menerima pembaikan berkenaan berpotensi terdedah kepada kelemahan tersebut.
Bagi pengguna yang mahu kekal pada iOS 26, iOS 26.7 dan iPadOS 26.7 kini boleh dipasang untuk mendapatkan pembaikan yang disertakan. Sementara itu, pengguna yang mahu beralih kepada versi terbaharu boleh menaik taraf kepada iOS 27 dan iPadOS 27 melalui Settings > General > Software Update, kemudian tatal ke bahagian “Also Available” dan pilih “Upgrade to iOS 27″ sebelum menekan Update Now.
{suggest}




