Insta360 hari ini memperkenalkan Luna Ultra, kamera gimbal dwi-lensa baharu yang dibangunkan bersama Leica dengan kemampuan rakaman sehingga 8K. Peranti ini menggabungkan kamera, sistem penstabilan 3 paksi dan pelbagai ciri berasaskan AI dalam reka bentuk kompak dengan berat sekitar 233 gram.

Luna Ultra menggunakan sistem dwi-lensa Leica Summicron yang terdiri daripada sensor utama 1 inci 8K serta kamera telefoto kedua dengan sensor 1/1.3 inci dan apertur F2.0. Gabungan kedua-dua lensa Leica Summicron ini membolehkan rakaman pada lima panjang fokus (focal length) berbeza dengan sokongan zum sehingga 12 kali, termasuk zum tanpa kehilangan kualiti sehingga 6 kali.
Untuk video, kamera gimbal ini menyokong rakaman 8K30fps dengan Dolby Vision serta format 10-bit I-Log yang memberikan lebih banyak maklumat warna untuk proses suntingan. Ia turut menawarkan julat dinamik sehingga 14 hentian bagi mengekalkan perincian pada kawasan terang dan gelap. Bagi fotografi pula, pengguna boleh merakam gambar sehingga 37MP serta panorama beresolusi 200MP.
Prestasi rakaman dalam keadaan cahaya rendah dipertingkat menerusi PureVideo Mode yang direka untuk mengurangkan hingar dan meningkatkan perincian sehingga rakaman 4K 60fps. Kamera ini turut menggunakan sistem Triple AI Chip untuk membantu pemprosesan imej dan pelbagai fungsi pintar.

Dari segi rekaan, Luna Ultra dilengkapi skrin sentuh OLED 2-inci yang boleh ditanggalkan. Skrin tersebut boleh digunakan sebagai alat kawalan dan monitor jarak jauh dengan penghantaran video HD sehingga 20 meter.

Bateri 1550mAh yang digunakan pula dikatakan mampu bertahan sehingga empat jam dan boleh dicas sehingga 80% dalam sekitar 23 minit. Luna Ultra hadir dengan 47GB storan terbina serta sokongan kad mikroSD sehingga 1TB.

Sistem penstabilan 3 paksi digabungkan dengan penstabilan imej elektronik bagi memastikan rakaman lebih stabil ketika bergerak. Fungsi Deep Track 5.0 pula menyokong penjejakan subjek secara automatik termasuk Auto Tracking, Group Tracking dan Smart Framing.

Dari sudut aliran kerja profesional, kamera ini menyokong profil warna Leica seperti Leica Natural, Leica Vivid dan Leica Chrome, selain sistem warna ACES. Ia juga dilengkapi timecode terbina untuk penyelarasan rakaman berbilang kamera serta serasi dengan perisian suntingan seperti Final Cut Pro dan Adobe Premiere Pro.
Harga dan ketersediaan

Untuk pasaran Malaysia, Insta360 Luna Ultra ditawarkan pada harga RM2,999 bagi versi Standard dan RM3,699 untuk versi Creator. Ia hadir dalam pilihan warna Cosmic Black dan Stellar White.


