Insta360 memperkenalkan Mic Pro, sistem mikrofon tanpa wayar baharu yang direka untuk pencipta kandungan, pembikin filem dan pengguna profesional yang memerlukan rakaman audio berkualiti tinggi dalam bentuk yang lebih mudah digunakan.
Antara ciri yang diperkenalkan pada Mic Pro ialah paparan E-Ink pada setiap pemancar (transmitter). Melalui aplikasi Insta360, pengguna boleh memaparkan nama, logo atau label tersuai bagi memudahkan pengecaman, terutamanya apabila menggunakan beberapa unit serentak. Skrin akan memaparkannya secara berterusan, walaupun unit dimatikan.

Setiap pemancar turut dilengkapi tiga mikrofon yang menyokong tiga corak tangkapan audio iaitu omnidirectional, cardioid dan figure-8. Ini membolehkan pengguna menyesuaikan rakaman mengikut situasi seperti vlog, temu bual, podcast dan rakaman ASMR.

Selain itu, Mic Pro juga dilengkapi ciri pembatalan hingar berasaskan AI yang dikuasakan cip NPU, sekali gus dapat membantu mengurangkan bunyi latar seperti angin dan suasana sekeliling sambil mengekalkan kejelasan suara.
Dari segi rakaman, Mic Pro menyokong rakaman dalaman 32-bit float yang menawarkan julat dinamik lebih luas dan membantu mengelakkan masalah audio pecah apabila bunyi menjadi terlalu kuat. Setiap pemancar juga mempunyai storan terbina 32GB yang boleh digunakan sebagai sandaran jika sambungan tanpa wayar terganggu.
Mic Pro menyokong sehingga empat pemancar pada satu penerima (receiver), serta boleh disambungkan terus ke beberapa kamera Insta360 melalui Bluetooth tanpa memerlukan penerima tambahan.

Setiap pemancar menawarkan hayat bateri sehingga 10 jam, atau sehingga 30 jam apabila digunakan bersama bekas pengecas yang disertakan.
Harga dan ketersediaan
Insta360 Mic Pro ditawarkan pada harga RM809 untuk kit yang merangkumi satu pemancar dan satu penerima (1TX + 1RX). Kit dengan dua pemancar dan satu penerima (2TX + 1RX) pula dijual pada harga RM1,419, manakala pemancar tambahan boleh dibeli secara berasingan pada harga RM419.
{suggest}
