Ini Mungkin Spesifikasi Yang Hadir Pada OnePlus 8 Pro

Kira-kira sebulan yang lalu, OnePlus sedia merancang untuk menghadirkan model terbaru mereka tahun ini dengan ciri kadar penyegaran 120Hz. Menambah satu lagi informasi berkaitan, spesifikasi mengenai OnePlus 8 Pro sudah mula dibualkan di internet.



Selain memperlihatkan gambaran awal reka bentuk, khabar angin ini turut disertakan dengan beberapa spesifikasi utama yang mungkin menjadi pertaruhan OnePlus. Sekali imbas, rupa paras yang dimiliki mirip seperti keluaran terdahulu iaitu OnePlus 7T Pro dengan sisi panel hadapan yang melengkung.

Paparan hadapan ini dikatakan berukuran 6.5 inci dari jenis Super AMOLED dan pastinya mempunyai kadar penyegaran 120Hz. Tidak seperti 7T Pro yang diperkenalkan dengan mekanisme terangkat bagi kamera hadapan, model ini dikatakan mempunyai rekaan paparan berlubang untuk menempatkan kamera selfie.


Bagi bahagian komponen dalaman pula, ia dispekulasikan membawa cip pemproses terbaru iaitu Snapdragon 865, RAM 8GB serta storan antara 128GB dan 256GB. Janaan kuasa peranti ditagih dari bateri berkapasiti 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 50W. Terdapat juga ura-ura menyatakan hadirnya sokongan pengecasan tanpa wayar dan ini menjadikannya keluaran pertama OnePlus yang mempunyai keupayaan sedemikian.

Seperti tahun-tahun yang sudah, kita boleh meramal spesifikasi yang lebih tinggi melalui penawaran edisi khas Mclaren seperti memori RAM sehingga 12GB. Peranti dikhabarkan bakal dilancarkan sekitar Mac depan tetapi ekoran dari virus Covid-19 yang sedang melanda ketika ini, pelancarannya mungkin ditangguhkan dahulu. Selain versi, dijangkakan akan terdapat lagi dua model lain dalam siri sama iaitu OnePlus 8 dan OnePlus 8 Lite.

Sumber: The Droid Leaks