Imej Rasmi OPPO Watch Menunjukkan Skrin Melengkung Dengan Kaca 3D

Bulan lalu, OPPO mengumumkan akan melancarkan jam pintar pertama mereka dan syarikat itu berkongsi imej pertama jam pintar tersebut melalui laman web Weibo. Dari rupa dan rekaan, ia kelihatan sangat mirip dengan jam pintar keluaran Apple. Cuma, terdapat 2 butang di bahagian sisi kanan jam pintar OPPO.

Semalam, Brian Shen yang juga merupakan Naib Presiden OPPO, sekali lagi berkongsi imej rasmi jam pintar tersebut melalui ciapan di Twitter. Melalui imej tersebut, ia menunjukkan paparan jam pintar dengan skrin kaca 3D yang melengkung. Paparan tersebut memberikan pandangan premium dan dijangka akan menjadi tren bagi jam pintar di masa akan datang.

Oppo Watch

Tidak seperti imej pertama yang mempunyai bingkai emas dan tali getah atau silikon, imej kedua ini menunjukkan ia mempunyai bingkai hitam dengan tali jenis kulit. Dengan perkongsian terbaru ini, jam pintar OPPO sudah pasti akan dilancarkan dengan sekurang-kurangnya dua varian warna.

Selain itu, menurut satu sumber dalam satu kiriman, jam pintar OPPO akan didatangkan dengan ElectroCardiogram (ECG) terbina. Kiriman tersebut kemudian telah dipadam.

OPPO masih belum mendedahkan tarikh rasmi pelancaran jam pintar ini, namun ia mungkin akan diumumkan bersama pelancaran OPPO Find X2. Mengikut perancangan asal, telefon pintar ini akan dilancarkan pada acara MWC minggu hadapan namun kini pelancaran tersebut ditangguhkan pada Mac 2020 kerana acara MWC dibatalkan pada tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19.

Sumber: GizmoChina