HTC U11 EYEs Muncul Dengan Tetapan Dwi Kamera Selfie Dan Snapdragon 652

Minggu lalu kita telah dilaporkan dengan penawaran rasmi HTC U11+ untuk pasaran tempatan, dan kali ini giliran "adiknya" pula membuat penampilan di China iaitu HTC U11 EYEs.

Setelah beberapa siri khabar angin kedengaran, HTC U11 EYEs telah dirasmikan di China sebagai telefon pintar kelas pertengahan.



Dari sudut pandangan hadapan, U11 EYEs kelihatan hampir sama seperti U11+ dengan skrin berukuran 6 inci beserta nisbah paparan 18:9 tetapi resolusinya pada kadar 1080 x 2160p.

Peranti ini didatangkan dengan cip pemprosesan Snapdragon 652, bergandingan bersama RAM 4GB dan juga storan dalaman sebesar 64GB.

Beralih kebahagian kamera pula, U11 EYEs menggunakan lensa 12MP UltraPixel 3 f/1,9 untuk bahagian belakang manakala tetapan dwi kamera menghiasi panel hadapan telefon pintar. Dwi kamera hadapan adalah gabungan dua kamera 5MP yang berupaya menghasilkan kesan bokeh untuk rakaman selfie.



Seperti siri U yang lain, HTC U11 EYEs juga dilengkapi dengan ciri Edge Sense yang mana pengguna boleh memicit kerangka telefon pintar untuk mengaktifkan pintasan. Fungsi nyahkunci skrin menggunakan wajah yang semakin popular turut melengkapi peranti ini.

Bakal dijana dengan bateri berkapasiti  3930 mAh, U11 EYEs juga mempunyai pensijilan IP67 kalis debu dan air.

Model ini dijual di China pada harga CNY 3299 iaitu lebih kurang RM2029.63 mengikut kadar tukaran matawang asing semasa.

Sumber: Phone Arena