HONOR 9X PRO Rasmi Berharga RM999 - Naik Taraf 9X Dengan Cip Kirin 810 Yang Lebih Berkuasa

Jika anda masih ingat lagi dengan peranti HONOR 9X sebelum ini, sebenarnya ketika itu varian HONOR 9X PRO untuk model berkenaan tidak dilancarkan untuk pasaran tempatan. Baru hari ini model ini memasuki Malaysia setelah beberapa minggu tarikh pelancarannya dilanjutkan berikutan wabak Covid-19 yang tidak dapat dielakkan.

Sesuai dengan penamaan 'PRO'nya, ini merupakan variasi yang sedikit lebih berkuasa dengan HONOR 9X biasa. Yang pertamanya, HONOR 9X Pro menggunakan cip Kirin 810 7nm berbanding Kirin 710f pada HONOR 9x. Untuk GPU pula peranti dikuasakan oleh Mali-G52 berbanding Mali-G51 pada 9X.



Dari segi memori, terdapat satu varian sahaja iaitu 6GB/256GB yang turut menyokong penambahan kad microSD sehingga 512GB. Ia juga turut menyokong storan berasaskan UFS2.1. Ini sekaligus menjadikan HONOR 9X Pro sebagai telefon pintar pertengahan yang mempunyai storan berkapasiti besar dalam pasaran tempatan.

Rekaan peranti adalah hampir sama dengan HONOR 9X yang menawarkan rekaan Dynamic X pada panel bahagian belakang. Skrin juga masih sama dengan 6.59 inci FullView Display dengan resolusi FHD+ jenis LCD. Nisbah skrin ke badan peranti adalah 91% dengan ketumpatan pixel 391 PPI.



Tidak seperti model 9X biasa yang mempunyai imbasan cap jari di belakang, versi Pro menampilkan ciri biometrik itu pada butang kuasa yang diletakkan dibahagian sisi kanan.

Skrin tidak mempunyai sebarang takuk kerana kamera swafoto dimuatkan melalui sistem terangkat. Ia bersaiz 16MP dengan aperture f/2.2. Kamera swafoto juga menyokong rakaman video sehingga 1080p 30fps.



Untuk kamera belakang juga sama dengan 9X iaitu 3 lensa dengan 48MP (f/1.9) utama  + 8MP (f/2.4) sudut lebar + 2MP (f/2.4) depth. Rakaman video pula adalah maksimum pada 1080p 60fps sahaja.



Peranti menjalankan perisian EMUI 9.1 yang berasaskan Android 9. Untuk yang bertanyakan servis Google, HONOR 9X Pro merupakan peranti dengan Huawei Mobile Services (HMS), jadi tiada aplikasi Google dan servis berkaitan di dalamnya. Sebaliknya, ia dimuatkan dengan AppGallery Huawei tersendiri.

Bateri peranti pula adalah pada kapasiti 4,000mAh dengan pengecasan 10W sahaja melalui kabel USB-Type C. Fungsi lain peranti termasuklah Bluetooth 5GPU Turbo 3.0 dan Liquid Cooling untuk meningkatkan prestasi permainan.



Menariknya HONOR menjual peranti ini dengan harga jualan yang sama dengan HONOR 9X iaitu RM999. Terdapat satu sahaja pilihan warna iaitu Phantom Purple. Tarikh penjualan peranti adalah bermula 17 April 2020 di HONOR Experience Store serata Malaysia. Selagi stok masih terhad, anda boleh mendapatkan jam pintar HONOR Band 5i jika membeli peranti tersebut.

Berkaitan