Apple secara rasmi memperkenalkan HomePod mini 2, pembesar suara pintar generasi kedua yang kini dilengkapi cip S10, sokongan Siri AI serta ciri pencahayaan baharu dikenali sebagai Sound Glow.
Pelancaran ini hadir enam tahun selepas HomePod mini generasi pertama diperkenalkan pada Oktober 2020.
Menurut Apple, HomePod mini 2 menawarkan pengalaman audio yang dipertingkatkan, selain hadir dalam lima pilihan warna iaitu putih, biru, hijau, merah jambu dan midnight.
Siri AI Dan Cip S10
Antara peningkatan utama HomePod mini 2 ialah sokongan Siri AI, yang membolehkan pengguna berinteraksi menggunakan perbualan lebih semula jadi.
Siri AI boleh menjawab pertanyaan menggunakan maklumat terkini daripada web, membantu mencari muzik serta memahami konteks peribadi pengguna.
Sebagai contoh, pengguna boleh meminta Siri mencari lagu yang dicadangkan rakan melalui mesej atau menetapkan peringatan berdasarkan acara dalam kalendar.
Bagaimanapun, Siri AI belum tersedia ketika pelancaran dan akan ditawarkan melalui kemas kini perisian akan datang.
Untuk mengaktifkannya, pemilik rumah perlu mempunyai iPhone atau iPad yang menyokong Apple Intelligence.
Dari segi perkakasan, HomePod mini 2 menggunakan cip Apple S10, menggantikan cip S5 pada generasi pertama.
Cip tersebut membolehkan pembesar suara menganalisis muzik secara masa nyata bagi mengoptimumkan julat dinamik, kelantangan dan prestasi audio.
Sound Glow, Lampu Yang Mengikut Rentak Muzik
Satu lagi pembaharuan menarik ialah Sound Glow, yang membolehkan permukaan atas HomePod mini 2 menyala dan berdenyut mengikut muzik yang dimainkan.
Pencahayaan tersebut bertindak balas terhadap bass dan treble, selain boleh menghasilkan warna berdasarkan kulit album lagu.
Pengguna juga boleh memainkan bunyi persekitaran seperti hujan untuk menghasilkan animasi pencahayaan yang bersesuaian.
HomePod mini 2 turut menyokong sistem audio surround menggunakan empat pembesar suara HomePod apabila dipadankan dengan Apple TV 4K generasi keempat yang baharu diperkenalkan.
Sistem itu menyokong HomePod mini 2 atau HomePod generasi kedua, dengan syarat pembesar suara dipadankan mengikut pasangan hadapan dan belakang yang serasi.
Apple berkata sistem tersebut boleh mengenal pasti kedudukan pembesar suara dan melaraskan masa serta tahap audio secara automatik.
Harga Dan Ketersediaan
HomePod mini 2 ditawarkan pada harga AS$149 (~RM608), dengan prapesanan bermula 13 Oktober dan jualan pada 30 Oktober 2026 di Amerika Syarikat serta pasaran terpilih.
Buat masa ini, harga dan tarikh pelancaran rasmi HomePod mini 2 di Malaysia belum diumumkan.
