Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Softbank Group x Grab

Grab, SoftBank Rancang Bangunkan Infrastruktur AI Di Malaysia Dengan Modal AS$1.85 Bilion

Diterbitkan November 10, 2026 oleh Amalina Athman

Grab dan SoftBank Group memeterai perjanjian pembangunan bersama bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Malaysia, menerusi cadangan modal permulaan gabungan sebanyak AS$1.85 bilion (~RM7.5 bilion).

Projek ini akan melibatkan Sarawak dan Semenanjung Malaysia, dengan kerjasama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bagi pembangunan di Sarawak.

Dalam jangka panjang, projek ini menyasarkan kapasiti pengkomputeran AI sekurang-kurangnya 5 gigawatt (GW). Kemudahan berkenaan dijangka menjadi antara infrastruktur AI terbesar seumpamanya di Asia apabila beroperasi sepenuhnya.

Daripada jumlah modal permulaan yang dicadangkan itu, AS$1 bilion diperuntukkan bagi projek di Sarawak, dengan SoftBank Group menyediakan AS$800 juta, manakala Grab dan PETROS masing-masing menyumbang AS$100 juta.

Bagi projek di Semenanjung Malaysia pula, modal permulaannya dicadangkan sebanyak AS$850 juta, terdiri daripada AS$650 juta daripada Grab dan AS$200 juta daripada SoftBank Group. Grab akan menerajui pembangunan projek di Semenanjung Malaysia, selain membawa masuk pelabur strategik jangka panjang apabila projek berkembang.

Menurut kenyataan bersama itu, pelaburan yang dicadangkan akan disalurkan secara berperingkat, tertakluk kepada pencapaian sasaran utama pembangunan projek, kontrak pelanggan dan pemenuhan syarat penyempurnaan yang diperlukan.

Selain itu, Grab dan SoftBank juga akan mendapatkan pelabur tambahan serta pelanggan dalam kalangan penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan berskala besar (hyperscalers) bagi menyokong pembangunan dan pengembangan projek.

Softbank Grab petros
Foto: Grab

Menurut Grab, kemudahan ini akan menyediakan akses kepada keupayaan pengkomputeran termaju untuk kerajaan, syarikat multinasional dan perniagaan kecil. Infrastruktur tersebut juga akan menyokong pembangunan penyelesaian AI tempatan bagi memenuhi keperluan masyarakat di Asia Tenggara.

Pembangunan projek ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, selaras dengan Pelan Tindakan Kebangsaan AI 2026–2030 atau AI Nation 2030.

Kemudahan berkenaan juga akan menggunakan infrastruktur berkecekapan tinggi yang direka untuk mengurangkan penggunaan air dan kebergantungan kepada rangkaian elektrik tempatan, serta beroperasi mengikut garis panduan penggunaan tenaga boleh baharu Malaysia.

Di luar pembangunan infrastruktur AI, pihak terlibat akan turut meneroka peluang kerjasama dalam sektor pembuatan termaju di Malaysia.

Kedua-dua inisiatif ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang kejuruteraan, reka bentuk dan teknikal, di samping mempercepat penggunaan teknologi termaju serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam bidang AI.

Berkaitan

  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • Grab Lancar Roboteksi Di Singapura, Teksi Tanpa Pemandu Kini Beroperasi Di Punggol
  • Rembayung Kini Guna Grab Untuk Tempahan, Satu 'Booking' Setiap Dua Minggu

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Tidak Boleh Memasak Dan Mandi, Warga Batam Salahkan Pusat Data AI
  • Dashcam DDPAI Dengan Kanta Dwifokus Pertama Di Dunia Dilancar Pada Harga RM1,269
  • Maybank2u Henti Sokong Pelayar Web Versi Lama Mulai 7 Januari 2027
  • Siapakah Alice Huang, Skandal Yang Dituduh Mengintip CEO Nvidia?
  • Google Perkenal TPU 8tx, 8i Max - Fokus Keselamatan Data, Pemprosesan AI Berskala Besar
  • Google Vids Kini Benarkan Pengguna Jana Video AI Sehingga 3 Video Berdurasi 15 Saat Setiap Bulan Percuma
  • Apple Keluarkan iOS 27.2.1 - Baiki Kelemahan Keselamatan iMessage, AirPlay Dan Bluetooth
©2026 WISER.MY