Google memperluas barisan pemecut AI TPU generasi kelapan dengan memperkenalkan dua sistem baharu, TPU 8tx dan TPU 8i Max.
Kedua-duanya dibangunkan untuk memenuhi keperluan berbeza dalam pembangunan AI, dengan TPU 8i Max direka untuk mengendalikan tetingkap konteks berskala besar serta menawarkan kepadatan pengkomputeran tertinggi bagi setiap rak, manakala TPU 8tx memfokuskan kepada inferens AI secara selamat dan sulit.
Google menjelaskan kedua-duanya merupakan konfigurasi sistem baharu yang dibangunkan berasaskan cip TPU sedia ada. TPU 8tx menggunakan silikon yang sama seperti TPU 8t, manakala TPU 8i Max menggabungkan dua cip TPU 8i dalam satu pakej.
Today, we're expanding our eighth-generation TPU portfolio with two new systems built specifically for the agentic era — bringing our total to four distinct eighth-generation TPU systems launched in a single year.
TPU 8i Max was built for massive context windows and the highest… pic.twitter.com/Ljj622Z5zL
— Google (@Google) November 9, 2026
Bagi TPU 8tx, sistem ini dioptimumkan untuk menjalankan inferens AI secara selamat dan sulit, khususnya bagi organisasi dalam sektor terkawal serta agensi kerajaan yang mengendalikan data sensitif dan model AI proprietari.
Ia menyediakan perlindungan pada peringkat perkakasan bagi memastikan data sensitif dan komponen model AI kekal terlindung serta terasing ketika diproses. Menurut Google, TPU 8tx turut menawarkan kependaman sehingga dua kali lebih rendah berbanding TPU 8t, dengan hampir tiada kesan terhadap prestasi.
Sementara itu, TPU 8i Max direka untuk mengatasi kekangan lebar jalur memori ketika mengendalikan tugasan AI berskala besar. Keadaan ini boleh berlaku apabila puluhan ejen AI bekerja serentak untuk menganalisis keseluruhan kod perisian atau memproses rakaman video berjam-jam.
Berbanding TPU 8i, sistem ini menawarkan dua kali ganda kuasa pengkomputeran, kapasiti SRAM dan lebar jalur memori HBM. Konfigurasi ini juga memuatkan dua kali ganda jumlah silikon dalam ruang rak yang sama, membolehkan pusat data menyediakan kepadatan pengkomputeran lebih tinggi bagi setiap kaki persegi dan setiap watt penggunaan kuasa.

Dengan penambahan ini, portfolio TPU generasi kelapan Google kini merangkumi empat sistem, iaitu TPU 8t untuk latihan model berskala besar, TPU 8i untuk penaakulan masa nyata, TPU 8tx untuk pengkomputeran sulit dan TPU 8i Max untuk pemprosesan AI dengan konteks berskala besar.
Dalam masa sama, Google turut memperluas sokongan perisian melalui TorchTPU yang dibuka sebagai sumber terbuka. Ini membolehkan kod PyTorch dan model Hugging Face dijalankan secara natif pada TPU tanpa pembangun perlu menulis semula kod sedia ada.
