Garmin Forerunner 965 - Ciri Tak Ada Yang Boleh Lawan Tapi UI Tak Cukup 'Layan'

Garmin telah pun melancarkan model terbaru jam sukan mereka pada awal tahun 2023 iaitu Garmin Forerunner 965 dan kini ia sudah pun berada di pasaran Malaysia.

Sebagai sebuah jam sukan dari Garmin semahal ini, anda semestinya mahukan yang terbaik dengan rasa premium, tahan lasak, tepat dan berprestasi.

Tapi, adakah semua yang dimahukan itu dapat disampaikan oleh jam ini?

Rupa tahan lasak


Jam sukan Garmin Forerunner 965 dilengkapi skrin sentuh AMOLED Corning Gorilla Glass 3 DX berwarna (454 x 454 piksel) bersaiz 35.4mm  dengan bezel titanium yang tahan lasak.

Tali jam pula adalah dari silikon berwarna yang dipadankan mengikut warna jam.

Ia juga dimuatkan dengan storan sebesar 32GB serta keupayaan bateri yang mampu bertahan sehingga 23 hari.


GPS tepat, lancar


Sebenarnya banyak tetapan ciri sukan utama yang ada pada jam sukan ini. Tetapi apa yang ingin diketengahkan di sini adalah ciri GPS nya.

Semasa menguji Forerunner 965 ini, penulis dapati sambungan untuk GPS nya sangat lancar dan begitu pantas disambungkan. Tidak sepertimana jam-jam pintar yang pernah diuji penulis sebelum ini.

Ia bagai tiada delay sewaktu GPS disambungkan pada jam ini di mana sambungan terus sahaja dicapai dengan begitu mudah.

Malah ketepatannya memberi tunjuk arah dan kedudukan semasa begitu baik sekali. Jadi, ia sememangnya ciri utama yang sukar ditandingi jam sukan atau jam pintar yang lain.


Sokongan aksesori pihak ketiga


Lagi satu yang best tentang jam Garmin ini adalah ia menyokong aksesori pihak ketiga di mana ia bacaan kadar denyutan jantung boleh disambungkan pada peranti lain dengan mudah.

Sebagai contoh, anda mempunyai peranti meter basikal yang dipasang pada basikal anda, peranti tersebut boleh disambungkan dengan lancar bersama Garmin Forerunner 965 untuk dipaparkan data denyutan jantung pada peranti tersebut secara tanpa wayar.


Notifikasi amaran stress segera


Ciri ini sebenarnya disedari secara tidak sengaja di mana berlaku insiden berdepan dengan seekor ular menyebabkan secara tiba-tiba, Forerunner 965 memberi notifikasi amaran segera tentang kadar denyutan jantung berada pada tahap tinggi dari biasa.

Notifikasi ini juga datang bersama getaran jam yang begitu kuat. Seakan sekuat getaran yang ada pada telefon pintar. Memang padu sambil memberikan arahan supaya bertenang dengan mengambil nafas.

Ini sememangnya ciri yang cukup penulis kagum pada Forerunner 965 ini yang mungkin tiada pada kebanyakkan jam pintar yang ada di pasaran ketika ini.

Bateri tahan agak lama


Untuk ketahanan bateri Garmin Forerunner 965 ini didapati ia tahan lebih lama dari jam sukan lain. Malah apabila digunakan secara aktif setiap hari pun, ia mampu bertahan sehingga 4 hari lamanya.

Ia jauh lebih baik dari model-model jam sukan lain yang pada pendapat penulis, untuk sebuah jam sukan yang menggunakan skrin AMOLED, bateri jam sukan ini sudah cukup cemerlang.


Tapi cukup premiumkah?


Daripada ciri-ciri yang ada pada Garmin Forerunner 965 ini, ia sudah cukup membuktikan bahawa ia sebuah jam sukan yang sukar ditandingi pesaing lain.

Tetapi ciri-ciri itu sudah cukupkah untuk menyatakan bahwa ia sebuah jam sukan premium?

Skrin AMOLED tak cukup padu


Walaupun ia menggunakan skrin AMOLED, tetapi skrin tersebut penulis dapati ia tidak terang,  jelas dan tajam sepertimana skrin AMOLED yang sepatutnya.

Ya, notifikasi dan teks mudah dilihat pada skrin berwarna yang dipaparkan kerana saiznya cukup besar.

Tetapi sayangnya, paparan yang ditonjolkan kurang menyerlah dari segi warna, kejelasan dan ketajaman teks.

Mungkin Garmin boleh beri perhatian lagi pada isu ini.


Butang fizikal banyak sangat


Perkara ini mungkin subjektif. Mungkin ada pengguna yang suka. Tetapi secara peribadi, sebuah jam sukan dan pintar, butang fizikal pada jam ini tidak perlu sebanyak ini.

Cukup sahaja dengan ciri skrin sentuh yang lancar.

Antara muka kurang lancar


Isu ini memang menjengkelkan. Ini kerana antaramuka jam ini seakan tersekat-sekat apabila menatal dan menavigasi antara mukanya.

Ia sepatutnya tidak berlaku pada sebuah jam sukan digital moden dan semahal ini.

Kapsyen: Ada ciri pada jam ini perlu dinavigasi dengan menggunakan butang fizikal.

Terlalu mahal...


Secara peribadi, Garmin Forerunner 965 terlalu mahal. Harga mencecah RM3,000 tapi rasa premium yang dimahukan tidak sampai pada jam ini.

Apa yang menyebabkan penulis katakan tak sampai rasa premium pada jam ini adalah atas beberapa sebab.



Pertamanya adalah ia menggunakan tali jam silikon yang terasa murah. Ya ia sebuah jam sukan dan mungkin anda tidak begitu pedulikan sangat.

Tetapi Garmin sepatutnya menggunakan material yang lebih baik lagi untuk tali jam ini.

Selain itu, ia terasa terlalu ringan menyebabkan rasa premium pada fizikal jam ini tidak sampai pada pendapat peribadi penulis.

Kesimpulan


Sebagai sebuah jam sukan yang Garmin nyatakan sebagai premium, ia sepatutnya jauh lebih baik dan tidak timbul isu remeh seperti isu kelancaran antaramuka dan rasa premium yang ingin disampaikan.

Malah jam sukan atau jam pintar yang jauh lebih murah harganya penulis boleh katakan bahawa ada yang lebih baik darinya dan lebih seronok digunakan dalam aspek itu.

Perkara ini turut dipersetujui oleh rakan-rakan penulis hasil perbincangan bersama mereka yang turut pengguna Garmin dengan membandingkan model-model jam sukan dan jam pintar yang lain.

Secara keseluruhan, apa yang penulis dapat simpulkan adalah terdapat ciri-ciri yang ada pada Garmin Forerunner 965 yang menjadikan ia begitu istimewa, berbeza dan sukar ditandingi pesaingnya.

Tapi pada masa yang sama juga, ia kekurangan dalam aspek tertentu (khususnya perisian) yang perlu diperbaiki bagi menjadikan ia sebagai sebuah jam sukan yang tiada tandingan dan lebih berbaloi dimiliki.

Garmin Forerunner 965 berharga RM2,970 dan ia boleh dibeli dari stor rasmi Garmin di Shopee dan Lazada.

{suggest}