Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa mengarahkan Meta supaya membuka semula akses WhatsApp kepada chatbot AI pihak ketiga secara percuma dalam tempoh lima hari bekerja sementara siasatan antitrust terhadap syarikat itu masih berlangsung, atau berdepan risiko dikenakan denda yang besar.
Meta berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap arahan tersebut. Ia susulan pelancaran siasatan EU pada Disember lalu berhubung dasar Meta yang menyekat akses penyedia AI selain Meta AI.
Suruhanjaya Eropah, selaku pengawal selia digital EU, berkata Meta perlu mengekalkan akses kepada pesaing sehingga siasatan selesai.
“Hari ini, kami menghendaki Meta memulihkan akses kepada WhatsApp untuk pembantu AI pesaing sementara kami menyiasat sama ada sekatan tersebut melanggar peraturan persaingan EU,” kata Ketua Antitrust EU, Teresa Ribera.
Suruhanjaya itu berkata tindakan tersebut bertujuan mengelakkan kemudaratan serius dan tidak boleh dipulihkan terhadap persaingan dalam pasaran yang sedang berkembang itu.
Jurucakap Meta pula berkata langkah tersebut akan membolehkan “OpenAI dan beberapa syarikat terbesar dunia” mendapat akses secara percuma, sambil menyifatkannya sebagai tindakan pengawalseliaan yang melampaui batas.
Pada Februari lalu, EU telah memberi amaran kepada Meta bahawa syarikat itu mungkin dikenakan langkah interim jika tidak membuka WhatsApp kepada pembantu AI pesaing. Meta kemudian memperkenalkan bayaran akses, namun cadangan itu ditolak oleh EU pada April kerana dianggap tidak memuaskan.
Menurut pegawai EU, siasatan antimonopoli tradisional boleh mengambil masa bertahun-tahun dan keputusan yang dibuat, selalunya denda, datang terlalu lewat untuk melihat sebarang perubahan positif bagi menangani kemudaratan yang telah berlaku.
Kali terakhir EU menggunakan langkah interim seperti ini adalah pada 2019.
Matlamat EU adalah supaya Meta mengembalikan akses pembantu AI pihak ketiga kepada WhatsApp di bawah syarat yang sama seperti sebelum perubahan dasar pada Oktober 2025 yang secara berkesan menghalang akses mereka.
Menurut Suruhanjaya itu, pihaknya mempunyai kuasa untuk mengenakan denda sehingga 10% daripada jumlah perolehan tahunan Meta jika syarikat itu melanggar arahan interim tersebut sama ada secara sengaja atau akibat kecuaian.
Melindungi ‘pasaran yang sedang berkembang’
Brussels berkata yuran yang ditawarkan awal tahun ini “pada pandangan awal” adalah “dalam amalan bersamaan dengan larangan akses terdahulu”.
Suruhanjaya itu menyifatkan terdapat “keperluan mendesak” untuk melindungi “pasaran pembantu AI serba guna yang sedang berkembang” dan memberi ruang kepada pemain lebih kecil serta pendatang baharu untuk mencabar syarikat besar yang sedia dominan.
“Kami tidak boleh membiarkan syarikat digital dominan menggunakan pengaruh yang dibina pada masa lalu untuk menentukan siapa di Eropah yang boleh bersaing dan siapa yang boleh berinovasi dalam AI,” kata Ribera dalam satu sidang media di Brussels.
Beliau berkata arahan EU itu akan memastikan rakyat EU boleh memilih chatbot AI yang mereka mahu gunakan di WhatsApp.
Tiada tarikh akhir yang ditetapkan oleh undang-undang untuk siasatan EU itu diselesaikan.
Meta sebelum ini beberapa kali berdepan tindakan EU dalam usaha blok itu membendung amalan penyalahgunaan kuasa oleh syarikat teknologi besar. Pada April lalu, pengawal selia EU mendapati Meta gagal menghalang pengguna bawah umur 13 tahun daripada mengakses Facebook dan Instagram, sekali gus melanggar peraturan kandungan digital EU.
Dalam siasatan sama, EU turut meneliti cara Meta melindungi kesejahteraan fizikal dan mental pengguna serta reka bentuk Facebook dan Instagram yang didakwa bersifat ketagihan.
Meta juga telah membuat rayuan terhadap denda €200 juta (~RM940 juta) yang dikenakan EU tahun lalu di bawah Akta Pasaran Digital (DMA).
Sementara itu, Apple baru-baru ini turut mengkritik undang-undang tersebut dengan menyalahkan DMA atas kelewatan pelancaran pembantu suara Siri AI, dakwaan yang ditolak mentah-mentah oleh EU. – AFP
{suggest}
