Ahli kesatuan sekerja Samsung Electronics pada hari Rabu telah meluluskan perjanjian dengan pihak pengurusan yang menjamin pembayaran bonus tahunan dalam jumlah yang sangat besar.
Kelulusan ini dicapai selepas mereka sebelum ini mengancam untuk melancarkan mogok besar-besaran, ketika ledakan kecerdasan buatan (AI) global terus melonjakkan keuntungan syarikat gergasi cip Korea Selatan itu.
Perjanjian tersebut bermakna sekitar 78,000 pekerja daripada keseluruhan 125,000 tenaga kerja domestik syarikat itu layak menerima bonus kira-kira $370,000 (~RM1.6 juta) pada tahun ini, bersandarkan kepada anggaran pasaran bagi keuntungan operasi tahunan.
Kesatuan sekerja terbesar Samsung dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lebih 73 peratus ahlinya menyokong perjanjian tersebut melalui satu undian elektronik yang dijalankan selama enam hari.
Perjanjian itu berjaya dicapai pada saat-saat akhir minggu lepas bagi mengelakkan mogok selama 18 hari, yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap ekonomi Korea Selatan.
“Ia tidaklah mencapai tahap yang kami mahukan… kami hanya perlu menerima apa yang diperoleh,” kata seorang pekerja cip berusia 23 tahun kepada AFP dengan syarat namanya dirahasiakan.
Pekerja tersebut mengakui terdapat kritikan berhubung pembayaran bonus yang besar itu, baik dari dalam syarikat mahupun daripada masyarakat luar.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa “orang ramai hanya memburuk-burukkan kami tanpa cuba memahami situasi sebenar”.
Permintaan luar biasa terhadap cip memori yang menguasai pusat data AI telah melonjakkan pendapatan Samsung secara mendadak.
Pada bulan April, syarikat itu menyatakan bahawa keuntungan operasi suku pertama melonjak kira-kira 750 peratus berbanding tahun sebelum ini, manakala nilai pasarannya melepasi angka $1 trilion buat kali pertama pada bulan ini.
Di bawah perjanjian 10 tahun kesatuan itu — yang terikat dengan sasaran prestasi yang tinggi — bonus tahunan bagi pekerja di bahagian semikonduktor akan menyumbang sebanyak 10.5 peratus daripada keuntungan operasi segmen mereka. Bonus tersebut akan dibayar dalam bentuk saham, bersama tambahan 1.5 peratus dalam bentuk tunai.
‘Tiket Emas’
Skim bonus ini telah mencetuskan ketegangan dalam kalangan pekerja di bahagian lain — yang bakal menerima ganjaran berbeza di bawah perjanjian tersebut — serta dalam kalangan syarikat subsidiari dan pemegang saham.
Prospek berlakunya mogok sebelum ini telah mencetuskan kebimbangan yang lebih luas di Korea Selatan, memandangkan Samsung Electronics sahaja menyumbang sekitar 12.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan cip memori membentuk kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
Isu ini turut merancakkan perdebatan tentang bagaimana keuntungan daripada AI sepatutnya diagihkan.
Seorang pegawai kanan presiden telah mengutarakan idea mengenai “dividen nasional” — dengan berhujah bahawa lebihan hasil cukai berkaitan AI boleh digunakan untuk menyokong program kebajikan sosial.
Penganalisis berpendapat bahawa pemberian bonus yang besar ini dapat membantu menyekat bakat-bakat dalam bidang kejuruteraan daripada berhijrah ke luar negara, terutamanya ketika syarikat-syarikat AS seperti Tesla sedang memperhebat pelaburan dalam cip AI.
Menurut kesatuan sekerja Samsung, pekerja di syarikat pesaing, SK hynix — yang nilai permodalan pasarannya turut mencecah $1 trilion pada hari Rabu — menerima bonus lebih tiga kali ganda lebih besar berbanding jumlah yang dibayar oleh Samsung pada tahun lepas.
Pulangan luar biasa yang dijanjikan di kedua-toah firma tersebut telah meningkatkan status sosial jurutera cip secara mendadak di Korea Selatan.
Sebuah jaket biasa yang tertera logo SK hynix menjadi tular di media sosial bulan ini sebagai simbol kekayaan dan kejayaan. Hantaran-hantaran parodi menggambarkan jaket itu seperti “tiket emas” untuk memasuki butik mewah atau peluang yang lebih baik dalam mencari pasangan.
Agensi berita Yonhap melaporkan bahawa pekerjaan di Samsung dan SK hynix kini menjamin “peningkatan nilai pasaran perkahwinan,” memetik kenaikan dalam “indeks keinginan” mereka yang dikumpul oleh agensi mencari jodoh, Sunoo — sekali gus mengejar reputasi profesion seperti doktor dan peguam.
Tentangan
Terdapat juga laporan mengenai ketidakpuasan hati pekerja berhubung isu yang sama di syarikat gergasi pengeluaran cip Taiwan, TSMC, yang turut mencatatkan rekod keuntungan bersih yang tinggi ekoran permintaan AI.
Perjanjian di Samsung ini kini merancakkan tuntutan tenaga kerja di seluruh Korea Selatan, dengan pekerja daripada pelbagai sektor termasuk bioteknologi, automotif, dan pembinaan kapal menuntut bahagian keuntungan korporat yang lebih besar melalui bonus.
Di dalam syarikat Samsung Electronics sendiri, perjanjian ini telah melebarkan jurang perbezaan antara pekerja dalam perniagaan semikonduktor yang sangat menguntungkan dengan bahagian-bahagian lain seperti mudah alih (mobile), paparan, dan elektronik pengguna, yang mana keuntungannya dilaporkan mendatar atau merosot.
Sebuah kesatuan sekerja yang lebih kecil yang mewakili pekerja di luar bahagian semikonduktor telah cuba menyekat undian tersebut, manakala beberapa pemegang saham turut menyuarakan bantahan dengan berhujah bahawa perjanjian itu tidak mendapat kelulusan mereka.
Rasa tidak puas hati turut merebak dalam kalangan pekerja di syarikat sekutu Samsung termasuk Samsung Display, Samsung SDI, dan Samsung Electro-Mechanics, yang disenaraikan secara berasingan dan menawarkan bonus yang jauh lebih kecil. – AFP.
{suggest}
