Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Operator Kilang Cip Memori Di Korea Selatan Kini Setaraf Doktor Dan Peguam

Operator Kilang Cip Memori Di Korea Selatan Kini Setaraf Doktor Dan Peguam

Diterbitkan Mei 28, 2026 · Dikemas kini Mei 28, 2026 oleh ariff bukhari

Nilai pasaran syarikat pembuat cip memori Korea Selatan, SK hynix, melonjak melebihi $1 trilion pada hari Rabu.

Lonjakan ini dipacu oleh permintaan global yang luar biasa terhadap perkakasan komputer yang menguasai alatan kecerdasan buatan (AI) — fasa peningkatan yang turut membawa syarikat Micron yang berpangkalan di AS melepasi ambang nilai tersebut.

Pencapaian tanda aras baharu SK hynix ini menyusul mengekori syarikat pesaingnya, Samsung Electronics, yang permodalan pasarannya turut melepasi angka $1 trilion pada bulan ini.

Situasi tersebut sebelum ini mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerjanya, yang kemudiannya telah mencapai persetujuan dengan pihak pengurusan untuk mendapatkan bonus yang sangat besar sekali gus mengelakkan pelancaran mogok.

Saham SK hynix, yang membekalkan memori jalur lebar tinggi (HBM) termaju kepada gergasi cip AI Silicon Valley, Nvidia, meningkat lebih daripada 11 peratus dalam sesi dagangan awal petang.

Menurut laporan Bloomberg, penilaian nilai pasaran baharu ini menjadikan SK hynix salah satu daripada tiga syarikat bernilai $1 trilion di Asia, bersama-sama dengan Samsung dan syarikat pembuat cip kontrak dari Taiwan, TSMC.

Micron yang berpangkalan di Idaho juga telah melepasi garisan $1 trilion pada hari Selasa dan melonjak lagi lima peratus pada pembukaan sesi dagangan di Wall Street pada hari Rabu.

Kerajaan dan syarikat teknologi di seluruh dunia kini sedang melaburkan ratusan bilion dolar ke dalam pusat data AI yang berfungsi untuk melatih dan menjalankan alatan seperti chatbot, penjana imej, dan ejen pintar.

Hal ini telah mencetuskan lonjakan perniagaan yang amat luar biasa bagi syarikat-syarikat yang mengeluarkan mikrocip silikon yang digunakan untuk memproses data dalam jumlah yang sangat besar di kemudahan-kemudahan tersebut.

“Pada masa ini terdapat isu tunggakan pesanan dan bekalan yang terhad, manakala jumlah permintaan pula sangat luar biasa,” kata Adam Sarhan daripada 50 Park Investments kepada AFP.

Ini adalah “ekonomi 101.”

Syarikat-syarikat seperti SanDisk, Western Digital, dan SeaGate Technology juga menyaksikan harga saham mereka melonjak tinggi sehingga 1,000 peratus dalam tempoh setahun.

Pada bulan April, SK hynix menyatakan bahawa keuntungan bersihnya melonjak hampir 400 peratus ke paras tertinggi dalam sejarah pada suku pertama berkat ledakan AI.

Pencapaian ini sekali gus membantu syarikat mengetepikan kebimbangan bahawa perang di Timur Tengah boleh menjejaskan industri semikonduktor.

Sementara itu di Samsung, ahli kesatuan sekerja pada Rabu telah meluluskan perjanjian dengan pihak pengurusan yang mana sekitar 78,000 pekerja bakal layak menerima bonus kira-kira $370,000 (RM1.6 juta) setiap seorang pada tahun ini, berdasarkan anggaran keuntungan operasi.

Menurut kesatuan sekerja Samsung, pekerja di SK hynix menerima bonus lebih tiga kali ganda lebih besar berbanding jumlah yang dibayar oleh Samsung pada tahun lepas.

Pulangan luar biasa yang dijanjikan di kedua-dua firma tersebut telah meningkatkan status sosial jurutera cip secara mendadak di Korea Selatan.

Sebuah jaket biasa yang tertera logo SK hynix menjadi tular di media sosial bulan ini sebagai simbol kekayaan dan kejayaan.

Hantaran-hantaran parodi menggambarkan jaket itu seperti “tiket emas” untuk memasuki butik mewah atau peluang yang lebih baik dalam mencari pasangan.

Agensi berita Yonhap melaporkan bahawa pekerjaan di Samsung dan SK hynix kini menjamin “peningkatan nilai pasaran perkahwinan,” memetik kenaikan dalam “indeks keinginan” mereka yang dikumpul oleh agensi mencari jodoh, Sunoo sekali gus meletakkan profesion itu setaraf dengan kerjaya berprestij tradisional seperti doktor dan peguam. – AFP

Berkaitan

  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • Google Perkenal 2 Cip TPU Generasi Ke-8 Untuk Pacu AI
  • Teknologi Pembuatan Cip Baharu Huawei Akan Merisaukan AS

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Projek Pusat Data Tidak Akan Diluluskan Di Negeri Yang Kekurangan Bekalan Air - Johari Ghani
  • Siri vivo X500 Dijual Mulai 3 November, Tawar Ganjaran Lebih RM3,400
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
©2026 WISER.MY