Google dan Amazon pada minggu ini melaporkan peningkatan mendadak dalam pelepasan gas rumah hijau, yang didorong oleh pembinaan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) secara besar-besaran dan tergesa-gesa sehingga mendesak syarikat gergasi teknologi tersebut semakin jauh daripada ikrar neutraliti karbon mereka.
Jumlah keseluruhan pelepasan Google yang didedahkan pada Selasa, telah melonjak sebanyak 82 peratus sejak tahun 2019, dan melebihi 18 peratus pada tahun lepas sahaja, walaupun syarikat itu telah komited untuk mengurangkan separuh daripada jumlah pelepasan tersebut menjelang tahun 2030.
Pelepasan Amazon pula, yang diterbitkan pada Rabu, telah meningkat sebanyak 58 peratus dalam tempoh yang sama, dan melebihi 16 peratus pada tahun lepas, sebaliknya daripada ikrar mereka untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2040.
Satu lagi petanda bahawa masalah ini semakin meruncing: kedua-dua syarikat kini menyumbang kepada pencemaran yang lebih tinggi bagi setiap dolar hasil pendapatan yang mereka janakan.
Dalam erti kata lain, kadar pelepasan gas mereka meningkat lebih pantas berbanding angka jualan—senario pertama yang berlaku sejak sekurang-kurangnya tahun 2021 bagi pihak Amazon.
“Peluasan pembinaan infrastruktur AI kami pada masa ini memecut lebih pantas berbanding kadar penyahkarbonan grid kuasa,” kata Kate Brandt, Ketua Pegawai Kelestarian Google, dalam satu hantaran blog yang mengumumkan laporan tahunan alam sekitar syarikat tersebut.
Rakan sejawatnya di Amazon, Kara Hurst, turut menyatakan perkara serupa dalam laporan syarikat gergasi e-dagang itu sendiri bahawa permintaan terhadap produk AI boleh “memperlahankan kami” dalam mencapai cita-cita alam sekitar syarikat.
Secara keseluruhannya, Google melepaskan 18.8 juta tan setara CO2 pada tahun lepas, yang mana sebahagiannya berpunca daripada pusat data dan pejabatnya, tetapi sebahagian besar adalah daripada rantaian bekalan bagi pembuatan cip dan pelayan serta pembinaan pusat data baharu oleh pembekal-pembekal mereka.
Amazon pula melepaskan sebanyak 80.85 million tan daripada aktiviti pengkomputeran awan (cloud computing) yang sama, ditambah dengan operasi gudang, armada logistik, serta urusan penghantaran di seluruh dunia.
“Satu perkara yang boleh kita jamin tentang sesebuah syarikat adalah mereka akan sentiasa mengejar keuntungan,” kata Sytske Wijnsma, penolong profesor di sekolah siswazah perniagaan UC Berkeley kepada AFP. Penyelidikan beliau memfokuskan kepada kelestarian rantaian bekalan, terutamanya permintaan yang semakin meningkat terhadap mineral kritikal.
Di satu sudut, perkara itu mewujudkan insentif kepada syarikat korporat untuk mengurangkan kos operasi mereka—seperti kos tenaga.
Syarikat-syarikat akan melabur dalam pilihan yang lebih lestari jika ia dapat mengurangkan kos, kata Wijnsma, yang mana ia boleh menjadi situasi “menang-menang” untuk mereka dan juga alam sekitar.
Namun isu yang lebih besar, tambah beliau, adalah rantaian bekalan mereka yang tidak dikawal secara langsung.
“Baca jurang antara permintaan dan penawaran sumber seperti tenaga dan mineral kritikal perlu diselesaikan,” kata Wijnsma. “Jurang tersebut boleh diisi dengan menjadikan cip dan pusat data anda lebih cekap, atau dengan menggunakan pilihan yang lebih mudah didapati seperti bahan api fosil.”
Usaha Global
Pada awal bulan ini, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati bahawa pusat data di seluruh dunia menggunakan tenaga yang begitu banyak sehingga hanya ada 10 buah negara sahaja yang masing-masing menggunakan lebih banyak tenaga daripadanya, sekali gus menjadikan AI sebagai pengguna tenaga ke-11 terbesar di peringkat global.
Menjelang tahun 2030, pusat data AI dijangka menjadi pengguna tenaga keenam terbesar di seluruh dunia.
“Sudah tiba masanya untuk berterus-terang,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres ketika berucap pada 23 Jun sempena Minggu Iklim London. “Jika AI mahu membantu membina masa depan yang lebih baik, ia mestilah jujur tentang kos sebenar yang terpaksa kita tanggung sekarang.”
Guterres melancarkan Inisiatif Ketelusan Alam Sekitar AI dan menggesa setiap syarikat AI utama untuk mengukur dan mendedahkan kesan alam sekitar mereka secara terbuka, serta komited untuk membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada setiap pusat data menjelang tahun 2030.
Isu ini menjejaskan keseluruhan sektor berkenaan, termasuk Meta dan Microsoft yang dijangka akan menerbitkan laporan masing-masing tidak lama lagi.
Perlumbaan AI global yang memecut laju selepas pelancaran luar biasa ChatGPT pada penghujung tahun 2022, memaksa gergasi teknologi untuk menggandakan bilangan pusat data—iaitu kemudahan yang menggunakan jumlah elektrik yang sangat besar, air untuk sistem penyejukan, konkrit, keluli dan cip.
Penggunaan elektrik Google telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun dan hampir menyamai penggunaan elektrik bagi sebuah negara seperti Greece.
Pelepasan Amazon yang dikaitkan dengan pembinaan pusat data pula telah melonjak lebih daripada 40 peratus dalam tempoh satu tahun sahaja.
Dalam laporan tahunan mereka yang tebal, kedua-dua syarikat mempamerkan usaha keras masing-masing.
Google menyatakan ia telah menandatangani jumlah kontrak elektrik “bersih” pada tahap rekod tahun lepas dan melabur dalam kuasa nuklear serta geotermal.
Amazon pula menampilkan dirinya sebagai pembeli tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk tahun keenam berturut-turut, melabur dalam reaktor nuklear kecil, dan mendakwa mempunyai lebih daripada 52,000 trak elektrik. – AFP
{suggest}
