Belum reda lagi GTA 6 versi fizikal hanya disediakan kod muat turun, Sony mengesahkan yang permainan selepas ini hanyalah digital. Sony semakin condong ke arah model digital selepas data kewangan FY2025 menunjukkan jurang yang sangat besar antara jualan game digital dan fizikal.
Menurut data yang dikongsi oleh penganalisis industri Derek Strickland, Sony menjual 248 juta unit game digital sepanjang tahun fiskal 2025. Sebaliknya, syarikat itu hanya menghantar 70 juta cakera fizikal dalam tempoh yang sama.

Dari segi pendapatan, perbezaannya lebih ketara. Jualan digital membawa pulangan hampir $7 bilion, manakala jualan cakera fizikal hanya menghasilkan kurang daripada $1 bilion.
Data ini dipercayai menjadi salah satu sebab utama Sony memutuskan untuk mengurangkan atau menghentikan pengeluaran cakera fizikal bagi game PlayStation pada masa hadapan. Digital bukan sahaja menawarkan jumlah unit yang lebih tinggi, malah margin keuntungan yang jauh lebih baik kerana tiada kos pengeluaran, percetakan, pengedaran dan penyimpanan.

Keadaan ini juga mencerminkan perubahan tabiat pengguna yang semakin selesa membeli dan memuat turun game secara digital. Kemudahan seperti jualan besar-besaran di PlayStation Store, integrasi dengan PS Plus, dan keupayaan bermain tanpa cakera terus mendorong peralihan ini.
Walaupun sesetengah peminat masih menghargai koleksi fizikal, data kewangan Sony menunjukkan bahawa masa depan industri game semakin condong ke arah digital. Syarikat itu kini menggunakan prestasi PS5 sebagai asas untuk merancang strategi PS6 yang lebih berorientasikan digital.
Buat pegetahuan, Nintendo pun sudah bergerak ke arah itu di mana versi fizikal dan digital mempunyai harga berbeza. Versi digital lebih murah berbanding fizikal. Ini sekali gus “memaksa” pengguna untuk membeli game digital.
{suggest}
